Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menunjukkan buku The Sarawak Report pada Majlis Pelancaran The Sarawak Report :The Inside Story of the 1MDB Expose di Grand Ballroom, Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2018
Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown

PETALING JAYA – Sultanah Terengganu Sultanan Nur Zahirah telah menghantar surat tuntutan kepada pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Recastle-Brown dan dua pihak lagi, untuk menuntut permohonan maaf bertulis serta ganti rugi RM100 juta daripada setiap mereka berhubung kenyataan fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report:The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Abdullah, yang mewakili Sultanah Terengganu, berkata surat tuntutan itu telah diserahkan kepada Recastle-Brown, penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd pada Khamis dan mereka diberi masa lapan hari mulai 27 Sept untuk membuat penarikan balik secara bertulis yang jelas dan permohonan maaf bertulis dalam terma yang dipersetujui oleh peguam baginda.

Beliau berkata Recastle-Brown perlu membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan itu dan syarikat terbabit juga dikehendaki menarik balik buku berkenaan yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap baginda, daripada penjualan dan pengedaran.

“Tindakan undang-undang ini tidak ada kaitan dengan buku Recastle-Brown tentang 1MDB. Kami hanya memberi perhatian kepada muka surat tiga buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Peguam itu menegaskan surat tuntutan itu dihantar kepada ketiga-tiga pihak berkenaan bagi melindungi integriti dan kepentingan baginda serta memelihara nama baik Institusi Diraja Terengganu,” katanya.

Beliau berkata kenyataan itu dianggap fitnah oleh sebab baginda tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal kerajaan.

— BERNAMA