Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2018.
Ashraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap pucuk pimpinan parti menerima dengan hati terbuka Ucapan Dasarnya tadi kerana ia adalah suara anak muda yang mahu UMNO pulih kembali.

Kata beliau, walaupun terdapat kenyataan berunsur teguran, kritikan dan nasihat, itu adalah kaedah terbaharu yang akan dibawa oleh Pemuda supaya tidak lagi berulang simpton ‘tak apa’ dan ‘diam’.

“Kita tidak mahu jika ada kenyataan yang bersifat menegur, kita dipersalahkan kononnya dengan teguran itu menyebabkan parti menjadi lemah dan boleh mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

“Mereka tidak boleh selalunya menyalahkan kita, walaupun Pergerakan Pemuda ini berusaha dengan pelbagai daya untuk memperkukuhkan parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Ketua Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Menurut Dr Asyraf, beliau akan membawa Pemuda UMNO itu sebagai sayap yang mempunyai ahli dan pemimpin yang jujur dan ikhlas dalam kerja, termasuk menegur jika berlaku kepincangan dalam pucuk kepimpinan.

“Sebab itulah apa yang saya bangkitkan dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda tadi adalah suara hati dan nurani pergerakan ini. Kami jujur dan ikhlas mahu melihat UMNO dipulihkan dan menjadi kuat seperti sebelum ini.

Beliau turut mengalu-alukan jika ada pemimpin UMNO yang berhasrat untuk keluar parti dan boleh berbuat demikian seberapa segera.

Ujarnya, selain UMNO berusaha untuk pulih, parti juga dalam proses pemutihan dari golongan yang pentingkan diri.

“Kalau ada sesiapa hendak keluar (dari UMNO), dipersilakan. Tidak perlu tunggu lama. Kami mengalu-alukan. Bawalah virus itu dalam parti baharu anda.

“Saya sudah beritahu kepada pucuk pimpinan, jika ada yang tinggalkan parti, kita akan isi dengan pemuda-pemuda kita.

“Ramai lagi di luar sana yang jauh lebih berwibawa dan tulus berjuang mahu menyertai UMNO,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh para perwakilan. – MalaysiaGazette