Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

DARI awal lagi sudah dijangka, Presiden Pas, Datuk seri Abdul Hadi Awang tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) yang dijadualkan berlangsung selama dua hari mulai esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Antara alasan diberikan, beliau terikat dengan atur cara lain yang telah ditetapkan sebelum ini.

Walhal, boleh saja pegawainya membatalkan program itu bagi memberi ruang kepada Abdul Hadi hadir sebagai ‘balas besan’ terhadap UMNO.

Tapi, nampaknya bagi Abdul Hadi jemputan untuk menghadiri PAU 2018 tidaklah penting sangat sebagaimana pentingnya majlis lain yang telah dimasukkan dalam jadual kerjanya sebelum ini.

Namun, bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beliau dan barisan tertinggi kepimpinan parti termasuk Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan dua Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri serta Datuk Seri Mahdzir Khalid sanggup membatalkan majlis yang dijadualkan sebelum ini, semata-mata mahu memenuhi jemputan Pas ke muktamar parti itu pada 15 September lalu.

Ramai dari kalangan pemimpin UMNO yang hadir, termasuk Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Pemimpin UMNO peringkat negeri dan bahagian juga turut hadir sebagai tanda penghormatan.

Tapi, dalam hal ini, siapakah yang lebih menghargai persahabatan ini? Dan siapakah yang ikhlas mahu meraikan kerjasama itu? Pas atau UMNO?

Mungkin juga bagi Abdul Hadi, cukup baginya Pas menghantar Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ke PAU 2018.

Setidak-tidaknya ada juga wakil rakan kerjasama hadir, walaupun beliau tidak dapat meluangkan masa untuk bersama meraikan perhimpunan itu.

Lagipun, mungkin Abdul Hadi menganggap, beliau tidak hadir pun tidak mengapa kerana dalam kerjasama antara UMNO dan Pas bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia 8 September lalu bukan secara rasmi pun.

UMNO yang terhegeh-hegeh mahu menghulurkan kerjasama itu dan Pas terpaksa menyambutnya, walaupun secara logiknya terlalu awal untuk kedua-dua parti itu bekerjasama dalam waktu ketika Barisan Nasional (BN) bukan lagi sebuah kerajaan.

Jawapan Tuan Ibrahim bahawa Abdul Hadi terikat dengan atur cara lain, juga tidak relevan. Tidak kuat untuk dijadikan alasan yang bileh diterima dengan lapang dada oleh UMNO.

Sepatutnya, beliau memberitahu, Presiden Pas tidak boleh hadir esok kerana tarikh itu serentak dengan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson, yang juga ditetapkan pada hari ini.

Justeru, Abdul Hadi dan barisan kepimpinan Pas Pusat terpaksa berada di Port Dickson untuk memberi sokongan kepada calonnya yang akan bertanding melawan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sungguhpun begitu, alasan itu juga agak rapuh, kerana kebetulan ucapan Dasar Presiden kali ini dijadualkan diadakan sebelah malam, bukan tengah hari seperti PAU sebelum ini.

Memang ada masa mencukupi untuk Abdul Hadi menghadirinya, sekali gus meraikan perhimpunan rakan kerjasamanya, UMNO. – MalaysiaGazette