Noraini Ahmad
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO menggesa Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan reformasi terhadap Perlembagaan UMNO dengan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang bertindak keluar parti.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, langkah itu adalah bagi mengajar mereka khususnya wakil rakyat yang mengambil tindakan secara semberono.

“Ini kerana ia melibatkan soal kesetiaan dan integriti, malah pengkhianatan besar terhadap mandat rakyat.

“Wanita mendesak agar parti mengambil tindakan kepada mana-mana wakil rakyat yang menang di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional.

“Pada masa yang sama, mereka perlu memulangkan semula kerusi kepada kita sekiranya mereka bertindak keluar parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC, di sini hari ini.

Noraini berkata, walaupun ia bukanlah satu kesalahan dari segi undang-undang sivil namun, tindakan wakil rakyat yang melompat parti telah melanggar kontrak sosial.

Tegasnya, mereka telah menghancurkan kepercayaan parti serta mengkhianati amanah pengundi.

“Wanita mencadangkan agar parti melaksanakan Aku Janji Taat Setia (bai’ah) UMNO ke atas semua ahli bagi membuktikan ketaatan dan kesetiaan kepada parti. Ia juga bertujuan membendung ahli mengkhianati parti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pergerakan Wanita turut mengesyorkan agar parti mengizinkan UMNO Sabah diberi kuasa autonomi untuk menentukan beberapa polisi utama yang bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan di negeri itu.

Jelasnya, ia sangat relevan kerana trend, persepsi dan lanskap politik pada hari ini yang telah berubah.

Tambah beliau, tuntutan semasa memerlukan adanya penjajaran politik dibuat bermula dari peringkat Pusat hingga ke Cawangan.

“Marilah kita segarkan kembali hasrat dan aspirasi perjuangan. Kita pamerkan semangat tinggi untuk bangkit semula dalam skop dan kerangka perjuangan asal, mengetepikan Perlembagaan dan kedudukan kaum lain yang ada di negara ini.

“Ingatlah pesan seorang ulama tersanjung: Hanya dua tempat bertanya, pertama tuhan, kedua hati. Jika hartamu sudah tidak ada, belumlah kita bernama rugi.

“Tetapi jika keberanian sudah tidak ada, seluruh kehidupan menjadi porak peranda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette