UMNO
Md. Alwi Che Ahmad. foto IQBAL BASRI, 29 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO tidak perlu takut menyuarakan sebarang kritikan dalam menegur kepimpinan tertinggi parti.

Wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, Wanita yang merupakan tulang belakang harus memainkan peranan untuk mendidik dan memastikan perjuangan parti supaya sentiasa berada di landasan betul.

“Jangan jadi Ketua Wanita UMNO yang takut, bodek, taat secara membabi buta. Membuta tuli tak apa lagi. Jadilah ibu yang memandu bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Pergerakan Wanita UMNO di PWTC, di sini hari ini.

Menurut Md Alwi, sayap itu telah memainkan peranan besar dalam mengekalkan kemenangan UMNO pada setiap kali pilihan raya umum, sehinggalah pada PRU lalu.

“Kekuatan kita ada pada Wanita. Wanitalah tempat kita bergantung, sekarang orang zalimi kita, orang hina Melayu,” ujarnya dalam nada hiba.

Md Alwi berkata, kesedihan yang dialami UMNO ketika ini tidak seharusnya berlarutan kerana masyarakat masih memerlukan pembelaan.

Ujarnya, jalan terbaik untuk parti itu ialah bangkit daripada terus meratapi episod kekalahan selain kembali mendampingi masyarakat setempat.

“Sekarang orang zalimi kita, tapi usahlah membungkam dan menjejaskan semangat untuk bangkit semula,” tambahnya.

Dalam pada itu, Alwi yang juga ADUN Kok Lanas mengimbau pengorbanan ibunya yang bersusah-payah membesarkan keluarga sebagai teladan kepada perwakilan untuk meneruskan perjuangan UMNO lebih-lebih lagi ketika parti sedang berhadapan dengan situasi mencabar ketika ini.

Dalam keadaan sebak, Alwi menutup ucapannya dengan sepotong doa yang dibacakan untuk kejayaan UMNO.

Doa yang dibacakan Alwi itu turut menyebabkan para perwakilan yang mengaminkannya menitiskan air mata. – MalaysiaGazette