Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 SEPTEMBER 2018
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diberi mandat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mendapatkan semula semua aset dari penama yang selama ini dipegang oleh pihak tertentu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengembalian aset itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan dan dibentangkan secara telus kepada ahli MT.

“Kita terpaksa melakukannya kerana ada bayangan (prasangka) seolah UMNO mempunyai aset bernilai berbilion ringgit, tetapi apabila saya lihat (aset itu), jumlahnya tidak sebanyak yang diperkatakan.

“Tetapi saya dapati ada di kalangan penama yang diberi tanggungjawab dan amanah oleh presiden terdahulu dan dipercayai oleh UMNO, telah menyatakan jumlah saham atau aset itu mereka yang punya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, jika usaha untuk mendapatkannya berdepan dengan kesukaran, UMNO tidak teragak-agak menggunakannya saluran undang-undang.

Katanya, UMNO tidak mahu orang yang tidak amanah memegang atau menjaga aset parti dan usaha untuk mengambilnya akan dilakukan secara telus. – MalaysiaGazette