Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad yang berada dalam Malaysia Airlines perlu dikeluarkan selepas syarikat penerbangan itu masih mengalami kerugian besar.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin berkata, jika tindakan tidak dilakukan, kemungkinan besar Malaysia Airlines akan mengalami kerugian lagi pada tahun depan.

“Penganalisis memaklumkan syarikat penerbangan ini akan kerugian RM500 juta dalam tempoh enam bulan dan tambahan RM500 juta lagi.

“Kalau tidak ada tindakan dilakukan Malaysia Airlines akan rugi RM1 juta lagi pada tahun depan. Malaysia Airlines merekodkan kerugian RM3 bilion sejak tiga tahun lalu.

“Cukup-cukuplah, terlalu banyak kerosakan dilakukan kepada Malaysia Airlines,” katanya dalam satu kenyataan.

NUFAM yang menentang penyertaan Khazanah Nasional dalam Lembaga Pengarah Malaysia Airlines sejak dahulu berkata, syarikat penerbangan itu memerlukan pakar penerbangan dalam membantu syarikat berkenaan untuk bangun semula.

Khazanah Nasional mengambil alih Malaysia Airlines pada Ogos 2014 dan melaksanakan pelan pemulihan yang menelan kos sebanyak RM6 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.4 bilion adalah bagi tujuan penyenaraian semula MAS, RM1.6 bilion untuk penstrukturan semula dan kos pemberhentian MAS sedia ada (OldCo) serta RM3 bilion hanya untuk MAS baharu dalam tempoh tiga tahun.

Pelan pemulihan itu termasuk membuang 6,000 orang pekerja Malaysia Airlines yang mendapat tentang hebat dari NUFAM.

Sepanjang proses pemulihan itu, Malaysia Airlines telah melantik dua Ketua Pegawai Eksekutif asing namun kedua-duanya meninggalkan syarikat penerbangan tersebut.

Ismail berkata, Malaysia Airlines yang kini mengalami masalah kakitangan terpaksa mengambil semula pekerja-pekerja yang telah diberhentikan, membabitkan juruterbang dan anak kapal.

“Selama tiga tahun, pelan penstrukturan Malaysia Airlines masih gagal, tidak ada perubahan yang berlaku. Ini memang menyedihkan,” katanya sambil menambah dalam keadaan itu pun ahli-ahli Lembaga Pengarah masih menikmati faedah gaji yang besar.

Situasi itu, katanya, seolah-olah menunjukkan masalah yang melanda Malaysia Airlines tidak ada siapa yang peduli.

Sedangkan, pekerja yang bekerja keras sehingga 1,000 jam setahun tanpa kenaikan gaji.

Tambah Ismail, pihaknya telah pun menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan kepada Perdana Menteri dalam satu pertemuan baru-baru ini. – MalaysiaGazette