Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

PADANG BESAR – Draf pembayaran balik pinjaman hasil kajian holistik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Rabu lalu untuk diteliti dan tindakan lanjut, kata pengerusinya Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, draf itu juga diserahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk tujuan input dan penambahbaikan.

“Kita mengesan banyak kelemahan dalam pengurusan pembayaran balik pinjaman sebelum ini dan telah membuat kajian holistik bagi merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi membantu meringankan beban peminjam,” katanya.

Wan Saiful bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Pakatan Aktivis Bersatu Perihatin Rakyat Perlis di Beseri, di sini Sabtu malam.

Menurutnya, antara intipati draf berkenaan ialah peminjam yang berpendapatan rendah atau baru mendapat pekerjaan akan diberi kelonggaran membayar balik pinjaman bagi meringankan beban mereka.

Wan Saiful berkata agensi itu akan turun padang mengadakan sesi taklimat di seluruh negara dalam masa terdekat supaya orang ramai lebih memahami fungsi PTPTN sekali gus menghentikan sebarang tohmahan dan fitnah terhadapnya.

Pada 20 Sept lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hutang terkumpul yang tidak dibayar kepada PTPTN berjumlah RM36 bilion.

Turut hadir pada majlis itu ialah penaung pertubuhan berkenaan, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis Amier Hassan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan