Latteffah Aliyaru Kunju
Wakil Pergerakan Wanita UMNO, Lattefah Aliyaru Kunju membahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kegagalan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bukanlah satu destinasi terakhir dalam perjuangan.

Sebaliknya, perjalanan parti keramat Melayu itu masih jauh dan perjuangan belum pun selesai, kata wakil Wanita UMNO, Latteffah Aliyaru Kunju.

Ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden, Latteffah berkata, sudah tiba masanya untuk seluruh ahli parti memandang ke depan dan tidak lagi menoleh ke belakang walaupun hari ini UMNO telah bertukar menjadi pembangkang.

“Kita buang rasa sedih dan murung ini jauh-jauh. Kita wajib bermuhasabah diri dan berhentilah dari terus menuding jari kepada pemimpin mahu pun ahli sesama sendiri.

“Nasi telah menjadi bubur namun, bagi kita bubur bukan sebarang bubur kerana ianya masih mampu mengenyangkan perut yang lapar. Walaupun kita telah bekerja keras sebelum ini, namun apakan daya, kita berusaha dan merancang Allah juga yang menentukan,” katanya pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC di sini, hari ini.

Latteffah berkata, UMNO perlu memikirkan isu-isu yang menjadi perhatian rakyat selain berusaha untuk mencari kaedah bagaimana untuk menolak segala dakyah negatif yang dilontarkan terhadap parti.

“Inilah yang perlu dilihat oleh semua kepimpinan parti bagaimana kaedah dan pendekatan untuk kita menepis dakyah kerajaan baru dan menyedarkan rakyat terhadap segala kepincangan yang dilakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap supaya pucuk pimpinan segera menggariskan hala tuju parti agar ahli UMNO di peringkat akar umbi dapat bergerak dalam memastikan parti terus diterima sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat.

Malah katanya, selaku tulang belakang parti, Wanita UMNO turut memohon Presiden agar tidak lagi mengistilahkan sayap itu sebagai ‘pergerakan’ sebaliknya mengiktiraf sebagai ‘Wanita UMNO’ sahaja yang diapit oleh dua sayap pemuda dan puteri.

“Kegigihan dan kesetiaan Wanita UMNO tidak dapat dipertikaikan. Sejak tertubuhnya UMNO, hak-hak wanita telah diperjuangkan secar konsisten oleh Wanita UMNO sehinggalah kepada era kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan disambung Datuk Dr. Noraini Ahmad hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan