Seorang wanita yang sedang diselamatkan dalam runtuhan di Palu, Sulawesi. foto Reuters

SULAWESI – Angka korban gempa bumi dan tsunami yang melanda Kepulauan Sulawesi terus melonjak kepada 832 orang.

Kerosakan dan kemusnahan akibat bencana alam itu lebih besar daripada jangkaan.

Terlalu ramai penduduk dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi kuat dengan 7.5 magnitud menggegarkan pulau tersebut Jumaat lalu,” kata Sutopo Purwo Nugroho, ketua agensi bencana alam Indonesia.

Gempa bumi itu mengakibatkan tsunami setinggi enam meter.

Mangsa-mangsa juga dilaporkan terperangkap di dua buah hotel dan sebuah pusat beli-belah di Palu.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kala berkata, angka korban dijangka mencecah ribu.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo meminta semua mangsa bersabar.

“Saya tahu terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan dalam tempoh singkat termasuk komunikasi,” katanya yang berjanji akan menangani masalah tesebut dalam masa 48 jam.

Sutopo berkata, pihaknya masih belum menerima laporan dari tiga kawasan kerana sistem komunikasi terjejas dan bekalan elektrik terputus.

Jelasnya, masih terlalu banyak kawasan yang tidak dapat dimasuki oleh pasukan penyelamat dan memerlukan jentera berat untuk memecahkan konkrit yang musnah akibat bencana tersebut.

Lima warga asing termasuk tiga dari Perancis dan masing-masing satu dari Korea Selatan dan Malaysia dilaporkan hilang.

Katanya, 16,000 orang penduduk hilang tempat tinggal memerlukan bekalan air bersih manakala 540 mangsa dilaporkan cedera dan sedang dirawat di khemah.

Sementara itu, Metro TV melaporkan bandar Donggala paling teruk rosak selepas kediaman dihanyutkan ke laut.

Bulan Sabit Merah berkata, setakat ini tiada apa-apa berita dari bandar itu dan ia membimbangkan. – MalaysiaGazette