Mee ramen

KUALA LUMPUR – Tiada kes keracunan makanan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Seri Bintang Utara seperti yang dilaporkan media sebelum ini, kata pengetuanya Sapura Amat.

Perkara itu disahkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menjalankan siasatan selama empat hari di dapur asrama dan kantin sekolah itu susulan 10 pelajar dikatakan mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit pada 21 Sept lalu.

“Siasatan mendapati bahawa keracunan makanan bukanlah dari kaedah penyajian nasi lemak yang disyaki menjadi penyebab utama kejadian itu. Sebaliknya, kami mendapati pelajar ini telah makan mee segera (ramen) yang pedas, mengakibatkan mereka mengalami gejala tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam Majlis Graduasi SMK Seri Bintang Utara di sini, hari ini.

Pada 25 Sept, media melaporkan premis dapur asrama dan kantin sekolah itu ??ditutup sementara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi.

Sampel klinikal dan makanan yang dimakan pelajar telah diambil Pejabat Kesihatan Cheras (PKC) bagi tujuan analisis di makmal.

Sapura berkata dapur asrama dan kantin sekolah telah beroperasi semula pada 27 Sept setelah pegawai kesihatan berpuas hati dengan hasil siasatan yang dilakukan terhadap 10 pelajar terbabit dan 82 pelajar lain yang mengalami gejala sama. – MalaysiaGazette