Foto Instagram Noorkhiriah.

KUALA LUMPUR – Pelakon Noorkhiriah menegur personaliti yang dikenali menerusi program dakwah, Pencetus Ummah (PU), seolah-olah sengaja mencari kesalahan selebriti.

Menerusi Instagram Story di akaun miliknya, Noorkhiriah berkata, cara penilaian dan pendekatan berdakwah digunakan oleh peserta program itu agak lantang seolah-olah kesilapan golongan terbabit akan membuatkan mereka terus lalai dan tidak akan berubah.

Antara lain, pelakon drama rantaian Nur itu berkata, dia tidak faham mengapa mereka seperti tidak berpuas hati dengan golongan selebriti.

“Terfikir juga, takkan ‘posting’ #maksiat begitu terus menjadikan mereka buas? PU, kadang-kadang kita jangan salahkan mana-mana pihak,” katanya.

Aktres yang hampir dua dekad berada dalam industri seni menambah, setiap manusia mempunyai kesilapan diri dan perubahan ke arah kebaikan akan berlaku jika seseorang itu kembali ke asas kehidupan.

Dalam pada itu, Noorkhiriah turut menegaskan, perkongsian itu dimuat naik bukan untuk berdebat dengan sesiapa, apatah lagi mahu menunjuk pandai.

Menurutnya, apa yang dikatakan itu hanyalah pandangan peribadi, malah dia memohon maaf andai luahan berkenaan menimbulkan rasa tidak senang golongan terbabit.

“Maaf PU, saya hina lagi daif, tetapi terpanggil dengan ‘posting’ PU kali ini. Mohon maaf sekali lagi. Jangan berdebat dengan saya kerana saya tiada ilmu.

“Saya cuma meluahkan apa yang saya rasa kerana saya tahu, PU juga punya alasan tersendiri. PU maha hebat, maka sama-samalah kita perbetulkan diri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan