Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir pada sidang media Pasca Temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Menara Kementerian Belia Sukan (KBS), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan Lim Teong Kim tidak dipecat sambil menegaskan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan diteruskan.

Beliau berkata, pemecatan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih B-16 dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan keputusan itu tidak akan memberikan kesan kepada jawatan beliau dalam NFDP.

Katanya, Teong Kim masih lagi memegang jawatan Pengarah NFDP yang rasmi.

“Saya dengan penuh rasa rendah diri meminta maaf kepada penyokong bola sepak tanah air.

“Seperti anda semua, saya juga mengidamkan hari di mana Malaysia akan layak ke Piala Dunia (B-17). Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya juga bertanggungjawab ke atas pembangunan semua sukan yang lain.

“Ada kalanya, keputusan yang sukar perlu dibuat demi pembangunan sukan negara secara keseluruhan. Saya harap rakan-rakan ambil masa untuk baca penjelasan saya,” tulisnya di laman Facebook miliknya yang bertajuk NFDP dan Masa Depan Bola Sepak Malaysia – Cerita Sebenar.

Syed Saddiq sebelum dikecam kerana mendedahkan gaji Teong Kim sambil meminta pengendali itu bertanggungjawab atas kegagalan pasukan pada pada kempen Piala AFC B-16 apabila gagal melepasi peringkat kumpulan sekali gus tidak layak ke suku akhir.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu tetap dengan pendirian untuk menilai semula pakej gaji yang diberikan pada Teong Kim di bawah NFDP.

Jelasnya ia bukan bermaksud mempersoalkan kelayakan beliau menerima jumlah gaji tertentu.

“Rakyat perlu maklum bahawa sebelum ini 80 peratus daripada gaji beliau dibayar oleh penaja tetapi semenjak dua tahun yang lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) menanggung kesemua pembayaran tersebut selepas penaja menarik diri  dan tanggungjawab MSN kepada sukan lain akan turut terjejas.

“Saya juga mahukan LTK (Lim Teong Kim) terus menerajui NFDP dengan kepakaran yang beliau ada tetapi situasi kewangan yang ada pada MSN ketika ini tidak mampu untuk menanggung pakej yang sama.

“Jadi saya harap perbincangan dengan beliau bakal menemukan titik tengah yang menguntungkan kedua-dua belah pihak demi masa depan bola negara,” katanya.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq berkata, peruntukan terhad yang diberi pada MSN perlu digunakan secara adil untuk pembangunan sukan-sukan di Malaysia.

Ini termasuk sukan berprestasi tinggi yang lain yang juga memerlukan bantuan peruntukan dari pihak kerajaan.

“Sebagai contoh, semalam sewaktu saya bersama kontinjen Paralimpik yang akan ke Sukan Asia, mereka menerima RM300,000 untuk menampung perbelanjaan ke sana.

“Saya rasa sedih sebab ini tajaan bagi satu kontinjen besar, bukan satu pasukan atau satu sukan sahaja. Kalau boleh saya nak bantu mereka semua dengan adil.

“Saya berterima kasih kepada penaja-penaja yang sudi membantu kontinjen Paralimpik negara ke Sukan Asia,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggalkan Jawapan