Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Haparan, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Pengundi Port Dickson menunjukkan sentimen positif terhadap terhadap datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil kawasan Parlimen itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmy Mohammed Fadzil berkata, sentimen positif pengundi terhadap calon Pakatan Harapan itu diperoleh menerusi satu soal kaji selidik yang dijalankan.

“Kami telah memulakan satu kaji selidik beberapa hari lalu dan daripada dapatan awalnya mendapati sentimen positif pengundi PD terhadap Anwar.

“Kaji selidik ini berobjektif untuk mengenalpasti mood rakyat kepada calon PH, dan proses itu masih berjalan lagi selepas baru sehari digunakan.

“Ramai menyatakan kesediaan menerima beliau sebagai Ahli Parlimen dan juga teruja memandangkan anwar akan jadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama PH PRK Parlimen Port Dickson di sini.

Tambah beliau, hasil kaji selidik itu akan disiapkan sepenuhnya dalam beberapa hari lagi dan akan mengeluarkan hasil perolehannya kepada umum.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui pihaknya mempunyai tanggungjawab besar menterjemahkan sentimen positif pengundi PD itu dalam bentuk undi pada 13 Oktober nanti.

Sambil mengakui pihaknya sedang berusaha keras untuk menggunakan pelbagai kaedah berkempen antaranya Keluar meraih undi bersemuka dengan pengundi sepanjang 14 hari ini, pada masa yang sama beliau menyeru pihak Suruhanjaya Pilihan Raya supaya mengambil langkah efektif dalam menjamin kelancaran proses undi.

“Ini kerana ramai pengundi berdepan masalah terpaksa beratur panjang menunggu lama sehingga ada yang kecewa dan mengambil keputusan tidak mahu mengundi dan pulang ke rumah.

“Senario sama kita telah saksikan semasa PRU14 9 Mei lalu, dan kita tidak mahu kejadian sama berulang di PD.

“Saya menyeru Pengerusi baharu SPR, Azhar Azlan supaya mencari kaedah terbaik untuk menangani tempoh masa menunggu lama pengundi di Pusat daerah mengundi (PDM),”tegasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mengakui terdapat kemungkinan berlaku serangan penggodam dalam sosial media melibatkan pemimpin-pemimpin PH sepanjang berkempen dan PRK.

“Kami sentiasa memantau serangan penggodam di media sosial dan ia berlaku melibatkan 50 juta pengguna Facebook serata dunia.

“Namun setakat ini serangan demikian tidak berlaku kepada akaun FB Anwar.

“Memandangkan senario sama berlaku semasa PRU apabila serangan besar melibatkan semua emel dan telefon bimbit pimpinan utama di negara ini, kami sentiasa waspada dan meningkatkan protokol dan tahap keselamatan.

“Kami juga bersiap sedia jika kemungkinan serang hendap media sosial oleh penggodam berlaku lagi,” katanya.

Beliau juga tanpa memperincikan butiran lanjut mengakui penyebaran gambar skrin shot kononnya dari seorang pemimpin tapi selepas disemak gambarnya berbeza.

“sekiranya ada gambar mencurigakan dari anwar atau PH boleh rujuk kami menerusi akaun rasmi kami, kerana tidak mahu berlaku soal berita palsu.

“Ada kebarangkalian maklumat palsu disampaikan di beberapa hari terakhir kempen sebelum PRK untuk sengaja mensabotaj peluang calon itu saya nampak ada kemungkinan itu.

“Oleh demikian jika ada maklumat diterima sila semak dahulu dengan kami kesahihannya,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan