Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pihak tertentu dalam UMNO menghormati keputusan yang telah ditetapkan dalam kepimpinan Majlis Tertinggi (MT), bukan melontarkan pandangan yang boleh menguris hati dan perasaan rakan seperjuangan.

Presiden UMNO itu berkata, beliau sentiasa meraikan perbezaan pendapat, tetapi jika hal dalaman parti dibawa ke luar dengan mendakwa apa yang dibawanya tidak ada hala tuju, ia bukan cara yang baik.

“Ada yang beri pandangan kata UMNO tak ada hala tuju, bila saya beritahu mengenai tujuh teras yang saya bentangkan dalam ucapan dasar semalam, dia kata hala tuju itu tidak cukup dan tidak dapat dilaksanaka.

“Biarpun dia tidak yakin, saya anggap kenyataannya itu sebagai pendapat peribadinya.

“Tolong.. tolong hormati keputusan rakan-rakan dalam kepimpinan MT. Biar mereka diberi mandatkan ini diberi kepercayaan sepenuhnya untuk laksanakan semua langkah itu,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Presiden, Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Kata Ahmad Zahid, usaha beliau bersama barisan kepimpinan yang baharu ialah untuk menghidupkan UMNO dan hidupkan semula kepercayaan rakyat serta ahli.

Beliau berkata, kalau pihak berkenaan marahkan parti sampai mahu menebuk perahu hingga masuk air dan karam, itu bukan perbezaan pendapat.

“Sudah-sudahlah berbeza pendapat. Bincanglah dengan tatasusila atau tatatertib.

“Ya, saya amat terbuka, tapi keterbukaan saya bila saya diasak sampai ke dinding ada hadnya. Saya meraikan semuanya itu, tetapi ini Zahid Hamidi. Saya letakkan nokhtah di situ. mereka tahu (siapa) saya.

“Saya tidak mahu memperlihatkan warna sebenar kerana saya membayangkan ada harimau atau singa dalam dada saya, tapi yang keluar hanya kambing. Dalam hal ini, saya fikir baiklah kita bersatu hati.

“Cukup-cukuplah…pintu pejabat saya sentiasa terbuka. Tak payah temujanji kalau saya tahu orang itu (datang) nak beri pandangan. Datanglah bila-bila masa,” katanya tanpa menamakan pihak yang dimaksudkan itu.

Bagaimanapun, amarahnya itu dipercayai ada kaitan dengan kenyataan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilaporkan berkata, ucapan dasar Presiden UMNO malam tadi tidak memberikan gambaran yang jelas hala tuju parti Melayu itu.

Khairy mendakwa, Ahmad Zahid tidak memperincikan sama ada mahu menjadi pembangkang yang kuat atau mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ahmad Zahid, beliau tidak mengulas panjang mengenai perkara itu, sebaliknya berkata, kalau bijaksana dan ada ideologi yang harus difahami, ia boleh diselesaikan.

Mengenai soal penurunan kuasa, jelasnya, apa yang dimaksudkan itu ialah apabila cawangan dan bahagian diturunkan kuasa ertinya mereka harus lihat soal kepopularitian seseorang calon.

“Setelah Badan Perhubungan Negeri mengadakan rundingan dan perbincangan, maka mereka akan melihat siapa yang layak dan ketika itulah penurunan kuasa akan dilakukan.

“Yang penting perundingan yang kita lakukan ini mengambil kira semua aspek. Oleh itu, tidak ada apa yang perlu dipersoalkan lagi mengenainya, saya dan timbalan saya (Datuk Seri Mohamad Hasan) sependapat.

Berhubung ucapannya berkaitan ada pihak tertentu mahu UMNO runtuh, Ahmad Zahid berkata, parti itu tetap kukuh, padu dan perkasa.

“Jika ada pihak mengharapkan UMNO luntur dan runtuh, (saya hendak beritahu) UMNO tetap kukuh, padu dan perkasa.

“Benar kita menghadapi kemelut, masalah yang pelbagai, tapi tidak ramai yang sanggup membebani permasalahan sebagaimana yang kita hadapi.

“Hanya yang punyai daya tahan, daya juang dan daya saing saja yang terus sanggup berada di pentas, jika di luar sana harap UMNO runtuh, tapi UMNO terus kuat dan gagah,” katanya. – MalaysiaGazette