Khir Toyo.
Khir Toyo.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo meramalkan UMNO akan diharamkan sebaik sahaja mahkamah memutuskan wang yang masuk dalam akaun Datuk Seri Najib Razak adalah daripada sumber meragukan dan haram sifatnya.

Sehubungan itu, katanya, UMNO tidak perlu hala tuju mahu pun penjenamaan baharu kerana ia akan diharamkan dan tidak boleh diaktifkan semula.

Beliau menjelaskan, ia berbeza ketika UMNO dibatalkan pendaftarannya seperti yang berlaku sebelum ini.

“Dibatalkan pendaftaran maka tindakan selanjutnya mendaftarkan semula UMNO.

“Diharamkan mengikut undang undang tidak boleh dihidupkan semula dan semua aset UMNO akan jadi menjadi milik negara,” tulisnya di Facebook miliknya hari ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mencadangkan, langkah terbaik bagi parti berusia 72 tahun itu adalah mencari jalan supaya bala tersebut tidak berlaku.

Namun katanya, jika berlaku juga, UMNO perlu mencari jalan  bagaimana untuk menghidup dan meneruskan kelangsungan perjuangannya walaupun dengan nama yang lain.

“Bila mana DSNR (Datuk Seri Najib Razak) didakwa di mahkamah atas salah laku pengubahan wang secara haram daripada sumber yang diragui, telah disebut dalam pertuduhan itu UMNO juga telah menerima RM20 juta daripada wang tersebut.

“Tan Sri Shafie (peguam bela) juga telah diheret ke mahkamah atas kelakuan menerima wang RM9.5 juta daripada DSNR daripada sumber yang sama.

“Undang-undang dengan jelas mengatakan, mana-mana pertubuhan yang menerima dana berupa wang atau lain-lain daripada sumber haram atau meragukan sifatnya maka pertubuhan tersebut boleh diharamkan di sisi undang undang,” katanya.

Mohamad Khir menambah, persoalan yang timbul walaupun di sudut undang undang tidak relevan, UMNO tidak mengetahui daripada mana sumber wang RM20 juta itu.

Namun katanya fakta jelas menunjukkan wang tersebut daripada akaun Presiden UMNO.

Ujarnya, alasan Umno tidak boleh diharamkan kerana tidak tahu sumber wang itu sama ada haram atau halal tidak timbul sama sekali kerana Najib sebagai Presiden parti sangat tahu asal usul wang tersebut. – MalaysiaGazette