Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMOUR – Jentera UMNO Bahagian Telok Kemang tidak dibenar mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Demikian tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung perkara itu meskipun mengetahui ada dalam kalangan mereka menyokong calon tertentu.

“Sebagai jentera di Bahagian, mereka tidak boleh mengambil bahagian kerana kita memboikot PRK tersebut atas asas kita tidak suka cara PRK itu diadakan.

“Itu sebab kita kena betul-betul faham perkataan boikot,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mohamad Hasan berkata, jika didapati ada jentera yang berbuat demikian tindakan terhadap mereka akan diputuskan oleh kepimpinan parti.

Bagaimanapun, beliau berkata anggota UMNO bahagian itu bebas membuat pilihan untuk mengundi calon yang dirasakan wajar untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Mohamad diminta mengulas kenyataan calon bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mendakwa pemimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang menyatakan persetujuan beliau bertanding di PRK Port Dickson.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS dan lima calon bebas termasuk Mohd Isa dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – MalaysiaGazette