Foto Facebook Aishah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aishah meluahkan rasa terkilan apabila hadiah tanah lot banglo yang sepatut dimenanginya selaku juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tidak seperti yang dijanjikan.

Aishah, 53, memberitahu, dia telah dimaklumkan akan menerima saiz tanah lot yang lebih kecil dan bukannya seperti yang diumumkan ketika memenangi pertandingan tersebut.

“Tak tahulah nak menangis ke nak ketawa, sudahlah susah payah nak tuntut hadiah siap dengan maki hamunnya, minta tangguh lebih setahun.

“Sekarang diberitahu yang tanah dijanjikan itu bukan lot banglo, tapi lebih kecil, katanya itu perjanjian dengan badan penyiaran,” katanya.

Aishah meluah rasa hatinya menerusi laman Instagram miliknya hari ini.

Sementara itu, penyanyi lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah turut hairan kenapa hal tersebut dimaklumkan selepas setahun pertandingan tersebut.

Malah, dia juga tertanya-tanya adakah nilai hadiah itu satu kesilapan atau hanya berniat untuk menjadikan program tersebut menjadi sebutan.

“Hampir setahun baru nak bagi tahu? Jadi yang diuar-uarkan dalam televisyen tu tak betullah ya?

“Kesilapan atau sahaja nak gempakkan program. Adoiii… I am speechless,” katanya.

Sebelum ini, Aishah mendedahkan dia masih belum mendapat hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai program tersebut.

Aishah turut membangkitkan hadiah barang kemas berupa berlian pemberian penaja iaitu Datuk Seri Vida yang dikatakan barangan palsu.

Selain Aishah sebagai juara, naib juara GV4 dimenangi Liza Hanim dan pemenang tempat ketiga ialah Lan Solo.

Ketiga-tiga mereka dijanjikan lot tanah selain hadiah iringan sumbangan pihak Astro dan penaja lain. – MalaysiaGazette