U.S. President Donald Trump and China's President Xi Jinping make joint statements at the Great Hall of the People in Beijing, China, November 9, 2017. REUTERS/Jonathan Ernst

WASHINGTON – Ketegangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) semakin jelas apabila hari ini negara itu bertindak membatalkan mesyuarat keselamatan yang dijadualkan pada minggu hadapan.

Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kanan China dalam pertemuan tersebut, lapor Reuters.

Sumber terdekat China yang bercakap dengan Reuters dilaporkan berkata, tidak begitu jelas mengapakah mesyuarat penting untuk menentukan beberapa dasar itu secara tiba-tiba dibatalkan tanpa sebarang tarikh baru.

Kata sumber itu, pihaknya yang baru sahaja diberitahu juga tidak pasti sama ada pembatalan mesyuarat tersebut disebabkan pelbagai pertikaian yang berlaku antara Beijing dengan Washington mengenai isu seperti jualan senjata.

“Ketegangan semakin jelas dan amat ketara ketika ini, keadaan ini sebenarnya sangat berbahaya bagi kedua-dua pihak,” jelas sumber yang enggan namanya didedahkan.

Selain itu, antara lain yang menjadi isu utama ketegangan adalah berkaitan dengan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan dan perairan di sekeliling China.

AS dan China turut terikat dalam perang perdagangan yang menyaksikan kedua-dua negara mengenakan pelbagai tarif ke atas import masing-masing.

Bagaimanapun, Jabatan Negara AS termasuk Rumah Putih serta Jabatan Pertahanan enggan memberi sebarang ulasan berhubung pembatalan mesyuarat itu, sebaliknya mendiamkan diri.

Pada masa sama, Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan China juga tidak mengulas berkaitan perkara itu.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu lepas, Presiden, Donald Trump dengan lantang menuduh China campur tangan pada pilihan raya Kongres AS pada 6 November lepas.

Dakwa Trump, China didakwa sengaja tidak mahu kemenangan besar dimenangi dirinya dan parti Republikan berikutan dasar perdagangan yang tidak menguntungkan Beijing.

Namun, Trump tidak mengemukakan sebarang bukti bagi setiap pertuduhan yang dikeluarkan olehnya sehingga menyebabkan China tidak senang hati. – Malaysia Gazette

Tinggalkan Jawapan