Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pengesanan awal penyakit kanser melalui kaedah saringan yang disarankan secara saintifik mampu meningkatkan survival atau jangka hayat penghidap kanser melalui rawatan di peringkat awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kajian Malaysia mengenai Survival Kanser (MyScan) mendapati langkah itu dapat meningkatkan survival terutamanya untuk kanser payudara, pangkal rahim dan kolorektal.

“Survival kanser atau keupayaan untuk pesakit kanser memanjangkan jangka hayat lebih lama setelah didiagnos merupakan fokus utama dalam pengurusan pesakit kanser.

“Selain daripada data kadar insiden dan kadar kematian, survival kanser merupakan salah satu indikator penting untuk menilai keberkesanan program kawalan dan pencegahan kanser,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kajian MyScan oleh Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara sebagai satu inisiatif untuk membentuk sistem survelan survival kanser kebangsaan.

Laporan MyScan yang dikeluarkan pada tahun ini menganalisa survival kanser untuk tempoh 0 – 10 tahun yang merangkumi 15 jenis kanser tertinggi di Malaysia yang didiagnos pada 2007-2011.

Antara dapatan kajian MyScan ialah sebanyak lima jenis kanser yang mempunyau kadar survival tertinggi iaitu kanser kelenjar tiroid (82.3%), prostat (73.0%), rahim (70.6%), kanser payudara wanita (66.8%) dan kanser kolon atau usus besar (56.8%).

Manakala tiga kanser yang mempunyai kadar survival paling rendah iaitu kanser pankreas (14%), kanser hati (12.8%) dan kanser paru-paru (11%) malah kajian mendapati ia lebih tinggi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Noor Hisham juga berkata, perhatian serius perlu diberikan bagi pencegahan kanser paru-paru dalam program pencegahan dan kawalan tembakau kerana ia mempunyai risiko kematian lebih tinggi.

“Program rawatan berhenti merokok kepada lima juta perokok berisiko tinggi untuk mendapat kanser paru-paru adalah lebih kos efektif berbanding dengan rawatan kanser ini.

“Diharapkan para ahli profesional perubatan termasuk pakar-pakar klinikal dan kesihatan awam, ahli akademik, penggubal polisi dan pertubuhan dapat memanfaatkan maklumat yang diterbitkan dalam meningkatkan pengurusan pesakit kanser di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan