Keadaan sesak di salah satu gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) semasa tinjaun lensa MalaysiaGazette di Stesen LRT KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 12 JULAI 2018. - foto hiasan
Keadaan sesak di salah satu gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) semasa tinjaun lensa MalaysiaGazette di Stesen LRT KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 12 JULAI 2018. - foto hiasan

PETALING JAYA – Sidang media perlu diadakan jika ada sebarang kelewatan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL melebihi 15 minit, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Prosedur operasi standard (SOP) baharu yang berkuatkuasa serta merta itu bagi memberikan maklum balas dengan lebih pantas kepada orang ramai jika sebarang kelewatan perkhidmatan berlaku dan mengelakkan kesesakan di stesen-stesen.

“Semua kelewatan membabitkan masalah teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai ‘Gangguan Utama’ dan perlu diadakan sidang media oleh pihak pengurusan Prasarana (Prasarana Malaysia Bhd) untuk memberi penjelasan kepada orang ramai.

“Pada masa yang sama, sebarang insiden dan pengumuman daripada Prasarana turut perlu dihebahkan menerusi media sosial secara lebih kerap dan perlu ditambah baik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan di laluan Kelana Jaya di sini, hari ini.

Loke berkata pihak pengurusan turut diwajibkan untuk memberi laporan bulanan berkenaan perkhidmatan tren kepada Kementerian Pengangkutan.

“Kami turut akan melanjutkan SOP ini kepada pengangkutan awam lain seperti KTM pada masa akan datang namun buat masa sekarang kami hanya tertumpu kepada perkhidmatan tren bawah Prasarana,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata semua sistem paparan elektronik maklumat perkhidmatan tren wajib berfungsi di semua stesen LRT laluan Ampang menjelang awal tahun depan.

Hal ini kerana sistem itu didapati tidak berfungsi di beberapa stesen LRT.

“Ia bagi memastikan semua penumpang mengetahui masa ketibaan tren dan merancang perjalanan mereka dengan lebih teliti,” katanya.

Bagi mengurangkan lebihan kapasiti ketika waktu luar kemuncak, pihaknya turut bercadang untuk menawarkan tambang lebih murah kepada penumpang-penumpang tren ketika ‘bukan waktu puncak’ untuk mengoptimumkan penggunaan tren.

“Namun perkara ini perlu dibincangkan dan dirancang secara teliti antara kementerian dengan pihak pengurusan tren,” katanya.

Terdahulu, Loke bersama pihak pengurusan Prasarana menaiki tren dari stesen LRT Bukit Jalil laluan Sri Petaling ke stesen LRT Damai sebelum tiba ke Depoh Lembah Subang untuk mendengar taklimat.

Gangguan perkhidmatan LRT Rapid KL laluan Kelana Jaya berlaku pada awal pagi 25 Sept lepas disebabkan masalah pada satu daripada komponen sistem semboyan yang mengawal isyarat pergerakan tren automatik di stesen LRT Damai.

Kejadian pada waktu puncak itu telah menyebabkan pengguna terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan tren dan pelan pergerakan tren secara manual telah diaktifkan bagi meneruskan perkhidmatan tren.

Ekoran kejadian itu para pengguna mengeluh yang syarikat itu perlu memperkenalkan sistem pengumuman lebih cekap termasuk di laluan monorel dan transit aliran massa (MRT) untuk memaklumkan pengguna yang akan bertukar tren atau memilih alternatif lain.

— BERNAMA