Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil dicabar mengambil tindakan undang-undang sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuktikan tidak melakukan jenayah di luar tabii atau liwat.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Lokman Noor Adam menegaskan, beliau tidak gentar malah mengalu-alukan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyamannya jika benar dakwaan liwat itu adalah fitnah.

“Kalau nak ugut saya duduk dalam penjara ini, saya nak beritahu saya hampir 1,000 hari, lapan kali kena penjara dan dua kali masuk ISA kerana mempertahankan manusia durjana bernama Anwar Ibrahim ini.

“Jangan nak berangan nak ugut saya, kalau nak saman, silakan, baru nak jadi kerajaan, kamu pun tahu, saya pun tiada duit, ingat saya takut, I have nothing to lose but Anwar got everything to lose.

“Saya nak beritahu Anwar, tolong jaga sikit Fahmi Fadzil, saya tak pernah memfitnah Anwar,” katanya ketika bersiaran langsung di akaun Facebooknya, hari ini.

Semalam, Lokman memuat naik di akaun Facebooknya mendakwa Mediacorp Singapura melaporkan seorang pelajar Indonesia membuat laporan polis di Singapura bahawa dia telah diliwat oleh Anwar.

Mediacorp kemudian mengeluarkan penafian menjadi sumber laporan berkenaan dan menyifatkannya sebagai berita palsu. Agensi berita itu juga memaklumkan kepada Lokman supaya menurunkan kenyataannya itu.

Menurut syarikat itu, pihak berkuasa Singapura juga menafikan wujudnya laporan polis berkenaan.

Lokman juga mengakui beliau melakukan kesilapan kerana memuat naik berita tersebut tanpa menyelidikinya terlebih dahulu sambil memberi alasan ia diperolehi daripada sumber yang boleh dipercayai.

“Kenapa saya terus muat naik? Sebab cerita Anwar liwat budak Indonesia ini bukan cerita baru, saya sudah dengar beberapa bulan lalu, hari ini baru keluar kononnya ada laporan polis dibuat.

“Tunggu dekat pilihan raya nanti, saya yakin Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri akan keluarkan cerita yang Anwar peliwat dekat Turki, begitu juga dengan budak Indonesia ini.

“Saya akui, saya silap, saya tidak periksa dulu, saya terus muat naik, tahulah kita tengah sibuk dengan Perhimpunan Agung UMNO, itu saya mengaku saya silap,” katanya.

Lokman turut mengesahkan bahawa beliau telah menarik posting berbaur fitnah itu susulan penafian MediaCorp mengenai berita pelajar Indonesia yang membuat laporan polis yang menjadi mangsa jenayah liwat itu.

“Lepas saya padamkan posting tersebut, saya membuat pembetulan, saya ambil tanggungjawab buat pembetulan, bukan macam orang PKR, DAP, Bersatu, tabur fitnah langusng tak ambil tanggungjawab.

“Saya tetap dengan prinsip saya, bila saya post sesuatu saya ambil tanggungjawab saya pastikan benda itu betul.

“Kali ini saya terlampau percaya kepada pemberi maklumat kepada saya dan kita pun sudah tahu perkara ini lama, kita ingat perkara ini betul. Bila MediaCorp kata tiada, kita tarik balik itu saja,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan