Lynas Malaysia wajar diberi peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012. - MABC

KUALA LUMPUR – Majlis Perniagaan Malaysia-Australia (MABC) menyeru supaya mana-mana kajian ke atas operasi Lynas Malaysia perlu diumumkan kepada awam, melalui pelaksanaan yang telus, objektif dan berasaskan pembuktian bagi mengekalkan keyakinan pelabur.

Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata Lynas Malaysia wajar diberi peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012.

MABC memandang serius mengenai satu laporan akhbar baru-baru ini yang menyentuh mengenai kajian semula ke atas operasi Lynas Malaysia, syarikat itu telah menghasilkan bahan-bahan nadir bumi bermutu di Kuantan di bawah syarat-syarat perlesenan yang terperinci sejak September 2014.

“Walaupun kerajaan mempunyai hak untuk membuat kajian semula, kajian itu seharusnya dibuat bagi melihat jika wujud sebarang pelanggaran kepada lesen atau tidak memenuhi standard antarabangsa yang boleh diterima.

“Kredibiliti kajian tersebut, termasuk komposisi pasukan kajian serta terma rujukan, adalah kritikal untuk memastikan bahawa ia tidak merosakkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan terbuka,” katanya.

Menurut MABC, Malaysia sudah lama dianggap sebagai destinasi pelaburan yang menarik kerana kerangka undang-undangnya yang boleh dipercayai, dasar persekitaran, politik serta ekonomi yang mudah diramalkan dan sikap kerajaan termasuk komuniti perniagaan yang terbuka kepada pelaburan.

Pelaburan Australia ke dalam negara ini telah mencecah hampir RM30 bilion sehingga ke akhir 2017, merentasi pelbagai sektor ekonomi yang produktif, termasuk pembuatan, perkhidmatan, pertanian, penyumberan dan ekonomi digital.

“Pelaburan tersebut telah mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi negara, harta intelek dan kemahiran asas,” katanya.

MABC mewakili kepentingan perniagaan Australia di Malaysia dengan misi untuk menggalakkan lebih banyak hubungan perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan