Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sin Chee Keong bergambar kenangan bersama Kontinjen-kontinjen Para Asia pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OCTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Malaysia meletakkan sasaran 15 pingat emas pada Sukan Para Asia Jakarta 2018 yang bermula 6 hingga 13 Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kutipan pingat itu dijangka disumbang oleh sukan olahraga, badminton dan boling.

Beliau berkata, China diramal menjadi saingan utama kepada atlet paralimpik negara pada kejohanan edisi ketiga itu.

“Insya-Allah berkat doa rakyat Malaysia, atlet kita menampilkan persembahan cemerlang dan menaiki podium serta mendapat pingat emas.

“Saya dan menteri Kabinet lain akan hadir untuk memberi sokongan bukan sebagai menteri tetapi sebagai rakyat Malaysia bagi menyokong wira dan wirawati yang berjuang demi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan di sini hari ini.

MGF01102018_MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG SUKAN PARALIMPIK ASIA JAKARTA09
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Sukan Para Asia, Lee Seng Chow sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sin Chee Keong (tiga kanan) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OCTOBER 2018

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malaysia menghantar seramai 139 atlet para bagi menyertai 15 daripada 18 jenis sukan yang bakal dipertandingkan di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Pada kejohanan empat tahun lalu di Korea Selatan, atlet negara memperolehi 15 pingat emas, 20 pingat perak dan 27 pingat gangsa.

Syed Saddiq menambah, insentif hadiah kemenangan bagi Sukan Para Asia itu akan kekal seperti yang dinikmati oleh atlet normal.

Sementara itu, Sukan Para Asia 2018 akan menawarkan 568 pingat emas menerusi 18 acara sukan dan bakal disertai 39 buah negara.

Semua acara akan dipertandingkan di 19 venue di Jakarta, Indonesia.

Acara yang dipertandingkan itu ialah atletik, badminton, memanah, boccia, catur, basikal, goal ball, judo, boling padang, angkat berat, menembak, renang, boling, pingpong, bola keranjang kerusi roda, lawan pedang, bola tampar, dan tenis kerusi roda.

Perasmian Sukan Para Asia dijadual pada 6 Oktober di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta dan majlis penutup pada 13 Oktober.

Sukan Para Asia diadakan selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, yang berlangsung 18 Ogos sehingga 2 September lalu. – MalaysiaGazette