Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Sebagai tanda prihatin tragedi yang menimpa negara jiran, Malaysia akan menyumbang sebanyak RM500,000 kepada mangsa gempa dan tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan juga sedia menawarkan bantuan lain dan Indonesia terbuka untuk menerimanya.

Jelas beliau, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Naib Presiden Indonesia, Yusof Kalla selepas berhubung di telefon.

“Kerajaan juga akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke kawasan yang dilanda bencana itu bagi membantu kerja mencari dan menyelamat (SAR) selain menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 untuk membantu Indonesia menghadapi bencana ini.

“Pada masa sama, sudah ada beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa seperti Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Mercy Malaysia di Sulawesi sekarang.

“Ketika ini, dari segi logistik, satu-satunya lokasi di mana pesawat boleh mendarat hanya di Makassar  yang telah sesak dan Malaysia hanya akan menghantar bantuan selepas mendapat kebenaran untuk mendarat di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sehingga semalam, lebih 800 orang dilaporkan maut akibat tragedi gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Palu pada Jumaat lalu.

Bencana itu turut mengakibatkan bekalan elektrik serta perhubungan terputus di sekitar bandar itu selain Donggala, wilayah yang paling dekat dengan pusat gempa bumi iaitu sejauh 27 kilometer. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan