KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang baharu.

Menterinya, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Mohamad Suparadi sebelum ini merupakan Pengerusi Eksekutif DSN Group of Companies.

“Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang pembangunan produk, kewangan serta pelaburan dalam pelbagai sektor,” katanya dalam kenyataan.

Selain daripada pelantikan Mohamad Suparadi, Redzuan juga turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ahli Lembaga Pengarah TEKUN Nasional.

Jelas beliau, semua pelantikan ini tertakluk dengan proses kelulusan yang sewajarnya.

TEKUN Nasional yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Tekun Nasional merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diwujudkan pada 9 November 1998.

Matlamat penubuhan TEKUN Nasional adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka.
– Malaysia Gazette

Tinggalkan Jawapan