Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu bercakap pada sidang media khas selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan keluarganya untuk mengguna pakai keputusan sabitan jenayah di Mahkamah Persekutuan berhubung kes pembunuhan model Mongolia itu dalam saman sivil RM100 juta keluarga itu.

Ketika ditemui media selepas prosiding kes itu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu dalam kamarnya atas alasan terikat dengan Seksyen 43 Akta Keterangan 1950 yang menyatakan bahawa perkara jenayah tidak boleh dibawa dalam perbicaraan sivil.

“Seksyen 43 Akta Keterangan melarang dan menghalang penggunaan sabitan jenayah dalam kes sivil,” katanya selepas menghadiri pengurusan kes itu di sini hari ini.

Sangeet Kaur berkata beliau akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu minggu ini dan perbicaraan kes saman itu ditetapkan Januari depan.

Beliau juga berkata sudah tiba masanya Jabatan Peguam Negara untuk membuat pertimbangan sewajarnya untuk meminda Seksyen 43 Akta Keterangan seperti mana yang telah dilakukan di negara-negara maju seperti United Kingdom.

Pada Julai lepas, Shaariibuu melalui peguamnya memfailkan permohonan supaya keputusan berkaitan kesalahan jenayah di Mahkamah Persekutuan berhubung pembunuhan anaknya Altantuya diguna pakai dalam saman sivil RM100 juta keluarga itu.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan ibu Altantuya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap dua bekas polis daripada Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri, dan Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan Kerajaan Malaysia.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

–BERNAMA

Tinggalkan Jawapan