Raja Petra Kamarudin

KUALA LUMPUR – Raja Petra Kamaruddin yang mencetuskan isu serban, memohon maaf kepada masyarakat Sikh dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh.

Menerusi blognya, Raja Petra berkata, beliau memohon maaf selepas dimaklumkan turban adalah suci dan masyarakat Sikh tidak boleh terima pemakaian serban dijadikan bahan lawak.

“Disebabkan itu saya minta maaf,” katanya.

Katanya, kenyataan beliau terhadap Amar tidak bermaksud menghina Sikh dan itu bukan niatnya.

“Saya minta maaf kepada Amar Singh walaupun saya tidak bersetuju dengannya, namun perselisihan tidak boleh sehingga menghina agamanya,” kata Raja Petra.

Raja Petra dan Amar saling ‘perang mulut’ selepas penulis blog itu menuduh polis mencuri sejumlah RM43.4 juta daripada rampasan di kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga meminta maaf kepada Gobind Singh Deo dan Amarjit Sidhu.

Katanya, dua peguam itu bersama Manjeet Singh Dhillon dan mendiang Karpal Singh adalah peguam yang mewakilinya dalam pelbagai perbicaraan dan semas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri 10 tahun lalu.

“Mereka juga banyak membantu saya, yang mana tidak terungkap dan sehingga membantu saya menetap di United Kingdom.

“Mereka membantu tanpa meminta sesen pun sebagai pembayaran.

“Saya akan selamanya berhutang budi dengan Gobind, Amarjit, Manjeet dan Karpal. Oleh itu, saya mahu membayar balik jasa mereka dengan menghina kepercayaan Sikh?,” tambah beliau. – MalaysiaGazette