Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menunjukkan gambar-gambar barang rampasan di kediaman bekas Perdana Menteri yang berkait kes 1MDB di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan semasa menjalankan penggeledahan dan rampasan di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pavilion Residences, pada Jun lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan keselamatan itu memandang berat dakwaan dilemparkan kerana ia mencalar kredibiliti PDRM, apatah lagi dalam kes berprofil tinggi sedemikian.

“Kesemua pegawai dan anggota dipilih menjalankan penggeledahan dan rampasan diberi taklimat dengan terperinci oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bagi memastikan kesemua mereka menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang.

“Dalam penggeledahan itu, PDRM turut dibantu pihak Pavilion Residences dan Bank Negara Malaysia bagi mengelak sebarang pertikaian di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian bagi menjawab tohmahan liar berlaku penyelewengan oleh PDRM apabila sejumlah RM43.3 juta daripada keseluruhan wang tunai dirampas di Pavilion Residences, didakwa lesap.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu agar membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

”Tindakan ini wajar bagi membersihkan nama dan imej PDRM. Dalam masa sama, kami ingin menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan yang menimbulkan spekulasi negatif atau menyentuh sensitiviti perkauman sehingga boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.

Rabu lepas, UMNO menuntut ganti rugi RM43.3 juta daripada PDRM susulan dakwaan kehilangan wang parti itu ketika serbuan dan rampasan pihak berkuasa berkenaan di sebuah apartmen di Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan, Jun lalu.

Tuntutan itu dibuat menerusi permohonan terkandung dalam writ saman difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, pada 21 September lepas .

UMNO mendakwa wang disimpan di apartmen milik Najib itu adalah RM160 juta, bukannya RM116.7 juta seperti diumumkan polis.

Khamis lepas, penulis blog Raja Petra Kamarudin menerusi blognya, mendakwa polis mencuri RM43.3 juta daripada RM160 juta wang UMNO yang dirampas di enam premis termasuk tiga di Pavilion Residences. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan