Anwar Ibrahim
Calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) berbincang sesuatu dengan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil (kanan) pada sidang media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Haparan, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto SYAFIQ AMBAK, 01 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – “Saya konsisten untuk tidak mengulas, menjawab Hadi Awang yang banyak mengkritik saya.”

Itu jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ceramah perdana kempen parti berkenaan di Teluk Kemang semalam bahawa Ketua Umum PKR itu seorang Islam yang tidak berpendirian konsisten.

Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu berkata, beliau telah mengambil ketetapan tidak menjawab kritikan itu kerana sudah banyak kali dikritik dan dicerca pemimpin pembangkang itu.

“Saya tidak perlu menjawab dakwaan itu kerana Islam tidak menghalang untuk menghormati agama lain di negara ini.

“Kalau dulu semasa Pas bersama Pakatan Rakyat, saya boleh pergi pula tapi sekarang tak boleh…dari dulu dalam majlis yang dibuat di dewan kuil orang Pas yang banyak hadir ikut saya.

“Konsisten saya adalah tidak ulas dan tidak jawab sebab Hadi Awang banyak kritik dan serang saya, jadi tidak perlu jawab kepadanya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini.

Dalam perkembangan sama, Anwar juga menjelaskan bahawa apa yang pentingnya ialah tradisi Islam tidak menghalang umatnya untuk menghormati hak beragama dan budaya kaum lain.

“Saya tidak kisah, akan terus menghadiri program agama lain selepas ini. Lagipun hari itu, saya hadir bukan sembahyang di kuil.

“Sebaliknya saya hadir dalam majlis kebudayaan yang diadakan di pekarangan kuil,” katanya sambil menjelaskan dia tidak akan mempedulikan kenyataan Ahli Parlimen Marang itu.

Dalam pada itu beliau turut diminta memberi pandangannya terhadap satu lagi kenyataan Abdul Hadi dalam ceramah yang sama mempersoalkan pendirian Anwar yang tidak bertanding di kawasan majoriti Islam Melayu kali ini.

“Kalau saya tanding di kawasan majoriti Melayu dia akan tanya kenapa tak bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu sebab sebab kamu seharusnya menjadi pemimpin untuk negara kepelbagaian kaum.

“Sebenarnya di Port Dickson lebih kurang 50 peratus adalah pengundi Melayu, 30 peratus Cina dan 20 peratus India,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette