Fattah Amin.

KUALA LUMPUR – Fattah Amin melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan dia menipu ejen-ejen untuk sebuah produk makanan kesihatan yang didaftarkan di bawah sebuah syarikat.

Fattah menerusi kenyataaan media yang dikeluarkan oleh pihak pengurusannya iaitu Universal Music Malaysia menjelaskan, dia tidak akan sesekali menipu peminat dan sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap isu ini.

“Saya terkejut dengan tuduhan ini. Saya tidak akan menipu peminat dan penyokong saya dengan mempromosikan sesuatu yang saya sendiri tidak percaya.

“Saya sedang bekerjasama dengan Universal Music untuk menyelesaikan masalah ini. Sebarang kenyataan rasmi tentang isu ini, akan saya berikan melalui pihak pengurusan,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah portal hiburan mendedahkan menerima kiriman e-mel daripada salah seorang ejen sebuah syarikat yang mendakwa, pihaknya sudah banyak melaburkan wang tetapi produk tidak terjual kerana Fattah dikatakan tidak lagi rancak mempromosikan produknya itu seperti sebelum ini.

Pengirim itu juga mendakwa, ada yang sanggup bergolok gadai untuk melabur dalam perniagaan tersebut kerana mempercayai kredibiliti Fattah.

Sementara itu, Fattah memberitahu, pihak pengurusan bersama peguam akan memantau dan berusaha menyelesaikan isu berbangkit dan beberapa klien lain yang telah menandatangi kontrak dengan bekas pihak pengurusannya sebelum ini.

Malah, mereka juga memandang serius tentang beberapa urusan yang dilakukan tanpa kontrak rasmi atau dalam pengetahuan pihak peguam.

“Pihak kami memandang serius tentang beberapa urusan yang dilakukan tanpa kontrak rasmi dan akan terus memantau dan berusaha menyelesaikan isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan