Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.

KUALA LUMPUR – S&P Global Ratings hari ini mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A- dengan unjuran yang stabil berdasarkan kepada kemantapan pertumbuhan ekonomi dan usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

Menurut Pengarah Kanan, Kedaulatan dan Penarafan Kewangan Awam Antarabangsa, Kim Eng Tan, pertumbuhan Malaysia serta pelaburan dijangka meningkat selepas berakhirnya tempoh kelembapan berikutan pilihan raya umum ke-14.

“Walaupun kerajaan terpaksa berbelanja lebih bagi mengotakan janji pilihan raya, kerajaan masih mampu untuk mengekalkan belanjawan yang berhemah, berdasarkan ini, saya tidak percaya bahawa kedudukan fiskal akan semakin merosot,” katanya pada taklimat media mengenai Sorotan Kredit Asean di sini hari ini.

Para pelabur yakin kerajaan akan kekal stabil walaupun pilihan raya umum yang lepas telah membawa satu anjakan yang ketara dalam barisan kerajaan.

“Buat pertama kali sejak merdeka, kita mempunyai sebuah kerajaan di mana UMNO tidak memainkan sebarang peranan atau watak utama.

“Perubahan ini telah mewujudkan ketidaktentuan politik yang besar kerana orang ramai tidak tahu hala tuju kerajaan baharu, sama ada ia akan menjadi kukuh atau akan meneruskan polisi lama yang mana para pelabur sudah terbiasa,” katanya.

“Saya fikir sebagai sebuah agensi penarafan, kami berasa gembira dengan langkah kerajaan yang berusaha bagi meletakkan imbangan fiskal kepada posisi yang lebih baik dan kerajaan juga dilihat amat mengalu-alukan pelaburan asing,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi S&P Vincent Conti berkata langkah-langkah penjimatan akan menjadi inti pati terbesar dalam pengumuman bajet 2019 Malaysia pada November depan.

“Jumlah hasil akan memberikan cabaran terutama selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilupuskan. Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan tidak boleh menampung kehilangan hasil tersebut.

“Peningkatan hasil minyak telah membantu mengurangkan kesan tetapi kita lihat kerajaan lebih berminat untuk membuat penjimatan,” katanya lagi.

Kata Conti, defisit fiskal akan lebih stabil walaupun negara banyak kehilangan hasil melalui pelupusan GST.

GST, yang diperkenalkan pada 2015, dijadikan kadar sifar pada Jun tahun ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan