Lim Guan Eng
Lim Guan Eng, foto IQBAL BASRI, 01 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan mengharapkan maklum balas positif diterima daripada pemaju hartanah berhubung pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada industri berkenaan menjelang akhir bulan ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengecualikan SST kepada sektor perumahan termasuk bahan-bahan pembinaan, ia mengharapkan agar penjimatan tersebut dapat diturunkan kepada pengguna menerusi harga rumah yang lebih rendah.

“Kerajaan mahu melihat supaya penjimatan (hasil pengecualian cukai) itu dilepaskan kepada pengguna.

“Sekiranya harga rumah masih tidak mampu diturunkan, lebih baik kami kenakan cukai tersebut kerana tiada gunanya kerajaan kehilangan pendapatan apabila mengecualikan cukai kepada sektor perumahan tetapi rakyat masih menderita akibat harga rumah yang masih mahal,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Institut Pengarah Korporat Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini banyak pihak seperti pemaju, penganalisis malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menjangkakan harga rumah tidak mampu diturunkan walaupun dikecualikan SST.

Ini kerana cukai bukan penyumbang utama kepada penentuan harga rumah.

Ia banyak ditentukan oleh kos-kos lain seperti nilai hartanah mengikut lokasi selain kos-kos berkaitan pihak berkuasa contohnya lebih 40 jenis yuran yang perlu dibayar kepada pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum sesuatu projek perumahan dijalankan.

Walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini mengenakan cukai kepada bahan-bahan pembinaan namun pemaju boleh membuat tuntutan balik kepada kerajaan maka ramai menjangkakan harga rumah hanya boleh dikekalkan pada era-SST namun tidak mampu diturunkan.

Dalam perkembangan berbeza, Guan Eng menegaskan beliau tidak mahu melihat pegawai-pegawai tinggi kerajaan memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah dalam pelbagai syarikat pada satu-satu masa.

Menjawab soalan wartawan mengenai penamatan jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Md Desa sebagai Pengarah Lantikan Kerajaan di FGV Holdings Bhd. berkuatkasa 26 September lalu, Guan berkata, tempat wanita tersebut digantikan dengan Mohd. Hassan Ahmad kerana beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sebuah organisasi yang lebih besar.

“Tempat beliau (di FGV) diganti oleh orang lain kerana beliau perlu duduk di dalam sebuah organisasi yang lebih besar. Beliau bukan dibuang.

“Saya tidak mahu melihat pegawai-pegawai tinggi di kementerian menjadi ahli lembaga pengarah di terlalu banyak syarikat kerana mereka sudah sudah mempunyai tanggungjawab yang besar di kementerian dan kini terikat pula dengan banyak syarikat.

“Jadi kami agih-agihkan tugas tersebut kepada ramai pegawai supaya mereka boleh memberi tumpuan penuh kepada tanggungjawab masing-masing,” jelasnya.

Kementerian Kewangan memiliki golden share di dalam FGV justeru perlu meletakkan wakil di dalam lembaga pengarah syarikat tersebut.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan