KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau tidak mengaitkan mana-mana nama individu dalam postingnya.
Beliau turut melahirkan rasa sedih kerana postingnya dijadikan bahan berita melalui tanggapan sahaja tanpa dibuat pengesahan.
“Entah… Tak sebut nama pun semua melompat sampai jadi berita. Sedihnya sekarang ini kalau anggapan sahaja boleh tulis berita terus. Tak payah ada pengesahan, tak payah tanya. Kini bukan lagi tentang beritahu apa yang benar tapi siapa yang dapat berita untuk dijual terlebih dahulu,” katanya.
Kenyataan itu dibuat oleh Tunku Ismail susulan ramai mengaitkan posting awal beliau dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam posting itu, Tunku Ismail berkata: “Perfectionist? It’s either you’re delusional or obsessed. You were still in your mother’s belly kid. Do some research. (Perfectionlist? Kamu banyak berkhayal ke taksub? Kamu masa tu masih dalam perut ibu, budak. Buatlah kajian sikit”
Ini kerana, terdahulu Syed Saddiq telah berkongsikan kisahnya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat mementingkan kesempurnaan atau perfectionist ketika bekerja.
Tweet Syed Saddiq itu mendapat perhatian dan dikongsi ribuan netizen. – MalaysiaGazette