SPRM

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 17 kontraktor hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu melibatkan program sukan tiga tahun lalu.

Menurut sumber, kesemua lima wanita dan 12 lelaki berumur antara 30-an dan 60-an itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi di Pejabat SPRM Johor, di sini.

Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek dari syarikat berbeza itu membuat tuntutan palsu berkaitan penganjuran Program Liga Sukan Untuk Semua Daerah di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi bagi 2015 sedangkan program-program tersebut tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu tersebut melebihi RM90,000.

Menurut sumber, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kes turut melibatkan penjawat awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan