Calon Bebas P.132 Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bercakap kepada media selepas beramah mesra bersama penduduk setempat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 01 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – UMNO akan rugi besar jika mengambil tindakan ke atas Ketua Pemuda UMNO Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa, kata Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan dalam soal anaknya itu.

“Saya serahkan kepada UMNO untuk mengambil tindakan dalam hal ini (Mohd Najib).

“Salah ke tak salah (anak bantu bapa) macam-macam kita boleh tafsir. Seperi saya kata sebelum ini, saya lawan musuh BN maka dari segi logiknya UMNO patut sokong saya yang lawan musuhnya bukannya boikot.

“Saya takda apa nak kecewa jika nak pecat anak saya sebab dulu pun saya pernah digantung tiga tahun, tak rasa apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita pada kempen beliau di Kampung Bagan Pinang di sini.

Mohd Isa berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau risau tentang masa depan anaknya dalam UMNO selepas parti itu  melarang mana-mana pemimpin dan ahlinya turun berkempen.

Ditanya apakah beliau akan kecewa jika UMNO memecat anaknya, Mohd Isa bagaimanapun berkata, UMNO sepatutnya perlu kecewa jika ketiadaan tokoh-tokoh muda dalam parti itu nanti.

Katanya, beliau juga tidak pernah menasihati anaknya meninggalkan UMNO, kerana anaknya faham cara berpolitik dan membiarkan anaknya membuat keputusan sendiri.

Mohd Isa berkata: “Saya tak pernah suruh dia bantu (kempen)..bapa kau pernah suruh engkau tolong tak (menyoal wartawan)… faham-fahamlah (anak bantu bapa),” ujarnya.

Selain itu, beliau juga belum memikirkan untuk kembali kepada UMNO sekiranya menang dalam PRK kali ini.

Menyentuh mengenai kempen PRK, beliau mengakui tidak berdepan kesukaran kerana masih menerima bantuan dan sokongan dalam kalangan rakan-rakan dan pemimpin komponen BN terutama MIC.

“Ada..kawan kawan ahli dan pemimpin India dari MIC di Port Dickson turun bantu saya mendekati pengundi India.. selepas ini akan ada banyak program saya bertemu masyarakat itu kerana sokongan mereka juga penting.

“Lagipun saya tidak perlukan bantuan (dipandu) ke tempat pengundi kerana berpengalaman melawat pengundi setiap lapisan masyarakat di sini,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan