KUALA LUMPUR – Berikutan kejayaan ‘luar biasa’ memperoleh kutipan box office paling tinggi dalam perfileman tempatan Tamil negara ini, filem Vedigundu Pasangge meraih penghargaan Anugerah Pencapaian Seni dan Hiburan yang Memberangsangkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Perkara itu disahkan oleh pelakon dan penerbit filem, Denes Kumar kepada MalaysiaGazette sebentar tadi berkata, beliau dan isterinya yang juga pengarah Vedigundu Pasangge, Dr Vimala Perumal teruja dengan pengiktirafan tersebut.

Setakat lapan minggu tayangan di seluruh negara, filem itu telah berjaya mengutip RM1.33 juta sekaligus dinobatkan filem Tamil tempatan yang pertama dalam sejarah dengan kutipan sedemikian.

Jika sebelum ini, filem trilogi ‘Passangga’ ini terus menjadi sebutan dan kegilaan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa dengan mencatat sejarah tersendiri apabila turut ditayangkan di United Kingdom (UK), India, Singapura dan Sri Lanka yang jarang sekali berlaku.

Menurut Denes, pihaknya tidak menyangka sambutan luar biasa sehingga mampu mencatat kutipan setinggi itu dalam tempoh tayangan terutamanya apabila mendapat saingan daripada filem Tamil dari luar negara.

“Memang doa dan harapan kami sememangnya filem ini mencapai status ‘hit’ tetapi buat pertama kali dalam sejarah, kami mengutip lebih RM1 juta dalam tempoh dua minggu tayangan adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Kami sememangnya teruja sekali apatah lagi apabila bercakap dengan para peminat yang sanggup menonton filem kami bukan sekali atau dua, sebaliknya ada sehingga 20 kali. Bukan untuk bongkak, tetapi rasa sangat bangga apabila filem tempatan juga mendapat begitu banyak perhatian serta sokongan sehingga tahap ini.

“Ini sebenarnya bukan sahaja penghargaan malah tanda aras kepada semua pembikin filem tempatan Tamil termasuk untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memartabatkan industri kita kepada tahap lebih baik seandainya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records untuk Vedigundu Passangge yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini merupakan batu loncatan kepada kami, kami tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa sokongan rakyat Malaysia,” katanya.

Vedigundu Passangga 50 hari tayangan

Vedigundu Pasangge adalah kesinambungan dua filem terdahulu, Vilaiyaatu Pasangge terbitan tahun 2011 dan sekuel, Vetti Pasanga pada 2014.

Kali ini ia lebih padat dengan aksi dan plot mendebarkan walaupun masih mengekalkan genre drama aksi komedi seperti yang ditampilkan pada dua filem terdahulu.

Filem terbaru arahan Dr Vimala itu ternyata menampilkan kematangan beliau dalam membuai emosi penonton menerusi pelbagai babak menarik yang diperhebatkan dengan garapan dialog serta susunan plot kemas dan teratur.

Memiliki ijazah Doktor Falsafah menerusi penyelidikan dalam jurusan Filem dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau adalah satu-satunya pengarah filem wanita Malaysia dengan kelayakan pendidikan seumpama ini.

Kebijaksanaan Dr Vimala diterjemahkan dalam filem yang menelan belanja RM1.5 juta ini termasuk menerusi pemilihan barisan pelakon handalan untuk membawakan watak masing-masing dengan berkesan.

Dengan durasi dua jam 18 minit yang dibintangi oleh Denes Kumar, Sangeetha Krishnasamy, Magendran Raman (Vikadakavi), Thangamani, David Anthony, Seelan Manoheran, Prakash Krishna selain muka baharu seperti Revathy Mariappan serta Pashini Sivakumar dan ramai lagi.

Untuk rekod, filem merupakan terbitan Veedu Production dengan kerjasama Astro Vaanavil ini telah berjaya memecahkan rekod empat tahun yang dipegang oleh filem Maindhan yang sebelum ini mengutip RM903,000.

Vedigundu Passangge juga menampilkan empat buah trak lagu yang kini menjadi popular dan kegilaan, antaranya ‘Vizhiye Kalangathey’ yang mencecah jutaan tontonan dalam laman sosial, YouTube dan juga ‘Vaada Villayadu’, ‘Love Mood’ serta lagu tema yang juga menggunakan pengarah muzik India terkenal, Vivek-Mervin. – Malaysia Gazette

Vimala Perumal