Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman 13 kontraktor bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu melibatkan program sukan tiga tahun lalu.
Seorang ahli perniagaan wanita yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didakwa di mahkamah di sini esok.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman 13 kontraktor bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu melibatkan program sukan tiga tahun lalu.

Perintah reman selama enam hari terhadap 11 lelaki dan dua wanita itu dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali bermula hari ini sehingga 7 Okt ini selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Anis Redza Mohamad Anwar.

Kesemua 13 kontraktor berumur dalam lingkungan 30-an dan 60-an terbabit merupakan antara 17 yang ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam, di Pejabat SPRM Johor, di sini.

Menurut sumber, siasatan yang dijalankan mendapati kesemua kontraktor dari syarikat berbeza itu membuat tuntutan palsu berkaitan penganjuran Program Liga Sukan Untuk Semua Daerah di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi bagi 2015 sedangkan program-program tersebut tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu tersebut melebihi RM90,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Selain 13 yang direman itu, empat lagi iaitu tiga wanita dan seorang lelaki sudah dibebaskan SPRM hari ini dengan jaminan antara RM3,000 dan RM10,000 seorang dengan seorang penjamin selepas keterangan mereka selesai direkodkan.

— BERNAMA