Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengoptimakan penggunaan tanah-tanah terbiar di seluruh negara dalam usaha menjamin bekalan makanan negara.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan banyak halangan sebelum tanah-tanah terbiar ini dapat dibangunkan untuk tujuan pertanian.

“Kita sentiasa melihat keperluan kepada sektor-sektor baharu dalam kementerian ini termasuk kita akan cuba mengoptimakan tanah-tanah terbiar yang memang menjadi isu dalam negara kita.

“Tapi perlu juga difahamkan tanah-tanah terbiar ini terlalu banyak, isu dan halangannya termasuk waris-waris terpaksa kita cari.

“Faktor-faktor geografi juga jadi halangan termasuk ketinggian dan cerun yang tidak mengizinkan kita mengoptimakan tanah-tanah jenis ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menjelang 50 Hari Ke MAHA 2018 di Wisma Tani, di sini, hari ini.

Datuk Salahuddin Ayub
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menyempurnakan gimik pelepasan konvoi kereta pada Majlis Menjelang 50 Hari Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2018 di Wisma Tani, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 02 OKTOBER 2018

Sebelum ini Salahuddin mengumumkan kementeriannya akan membangunkan tanah terbiar seluas 119,273 hektar di seluruh negara melalui Inisiatif Projek Pembangunan Tanah Terbiar.

Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Pertanian telah menyediakan perancangan untuk membangunkan tanah terbiar dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) sehingga ke RMK11.

Salahuddin berkata, bagi tujuan itu, kementeriannya akan menggunakan teknologi baharu untuk mengatasi halangan-halangan tersebut dalam usaha memastikan tanah-tanah terbiar dapat dibangunkan segera.

“Kementerian ini sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ke arah mengamalkan pertanian moden.

“Oleh itu teknologi baharu termasuk penemuan variati-variati baharu dan pendekatan-pendekatan baharu akan kita laksanakan dalam semua sektor dalam bidang pertanian.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan hasil,produk dan pendapatan petani-petani kita di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette