Kelihatan bekas Naib Presiden MIC, S. Sothinathan bersama calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan ahli persatuan pemandu teksi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Hentian Bas dan Teksi Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018.
Kelihatan bekas Naib Presiden MIC, S. Sothinathan bersama calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan ahli persatuan pemandu teksi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Hentian Bas dan Teksi Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Bekas Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan turun membantu kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini.

Beliau muncul bersama jentera kerja Pakatan Harapan dan PKR dalam pertemuan Anwar bersama pemandu teksi dan kereta sewa di pekan bandar tentera itu.

Ditanya mengenai kehadirannya bersama Anwar dan jentera PRK, Sothinathan berkata, beliau kini tidak lagi bersama MIC dan Barisan Nasional.

“Saya sudah berundur dari MIC Ogos lalu, sudah tidak ada apa apa hubungan atau kepentingan bersama MIC sejak itu,” katanya kepada MalaysiaGazette tanpa mengulas lanjut .

Menurut Sothinathan, beliau turun bersama Anwar untuk membantu berkempen mendekati pengundi di kawasan parlimen itu.

“Saya mantan wakil rakyat kawasan ini (dahulu Teluk Kemang). Jadi menjadi keperluan untuk saya turun membantu calon PH mendekati setiap pengundi.

“Pengalaman sebagai ahli parlimen kawasan ini saya gunakan untuk melicinkan kempen Anwar memujuk sokongan pengundi di sini dan saya tidak melihat sebarang masalah dalam hal ini,” katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau sudah menyertai PH atau PKR sebagai anggota, Sothinathan berkata:”Belum lagi.. saya hanya turun berkempen dengan beliau setakat ini.”

Mengenai agenda masyarakat India Port Dickson dan permasalahan mereka, Sothinathan berkata, setiap keluarga India baik muda dan tua didekati hampir setiap hari oleh Anwar.

“Saya boleh melihat keterujaan dan mood pengundi yang menyambut baik Anwar Ibrahim,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette