Calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di sekitar restoran PD Famous Cendol Coconut Shake, Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – “Saya bertanding untuk menang, bukan main main dan sangat serius untuk menjadi wakil rakyat”.

Itu kata calon bebas Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson Saiful Bukhari Azlan, sambil memberi jaminan dia tidak akan terikat atau komited dengan sebarang jawatan dalam kerajaan jika diberi mandat pada 13 Oktober ini.

“Saya akan jadi ahli Parlimen bebas dan berkecuali tanpa agenda peribadi tetapi akan melalui sedikir kesukaran tetapi sanggup menghadapi dugaan itu demi rakyat.

“Kalau dia (Anwar) menang, akan jadi Perdana Menteri, adakah dengan jawatan PM yang sangat sibuk dia boleh fokus rakyat di PD?.

“Saya kalau menang tidak akan memegang sebarang jawatan justeru saya dapat beri komitmen lebih daripada beliau (Anwar) sekiranya menang,” katanya dalam sidang media d Teluk Kemang selepas melancarkan Tabung dana khas “Tabung RM1′ sebagai membiayai kempen PRK sehingga 13 Oktober ini.

Menurutnya, budaya tabung dana adalah satu kebiasaan di luar negara misalnya di Amerika Syarikat digunakan untuk pemilihan Presiden.

“Jadi saya tak dapat dipersalahkan oleh siapa sahaja mengenai dana ini dan memberi jaminan akan mengiytiharkan wang dikutip itu pada setiap masa mengikut tempoh yang ditetapkan mungkin dua hari sekali,” ujar beliau.

Saiful juga mengalu-alukan sesiapa sahaja secara sukarela yang mahu membantunya menggerakkan kempen atas semangat sukarela.

Meskipun dalam keadaan kekurangan dana, Saiful akan terus berkempen.

“Walaupun ketika ini kekurangan dana, kalau takde apapun saya masih mampu bergerak keseorangan dengan semangat yang dimiliki cuma tidak boleh memiliki bendera, banting dan jentera,” ujarnya.

Katanya, dalam PRK kali ini dia bukan ‘underdog’ cuma underyoungest dalam kalangan calon.

Dalam pada itu, Sauful turut mempersoalkan satu papan tanda besar iklan gergasi yang menaja poster Pakatan Harapan dengan gambar Anwar.

“Saya nak tanya Anwar adakah dia membenarkan mana-mana syarikat menaja sebegini.

“Dalam hal ini saya bukan sekadar tak cukup jentera tetapi melawan bala tentera yang cukup gah dengan kewangan sehingga syarikat terang-terangan menaja calon parti itu berkempen,” katanya. -MalaysiaGazette