Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tawaran jaminan penerbitan bon Samurai oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia akan memberi banyak faedah kepada negara terutama dalam mengurangkan beban kewangan dan dalam soal pembangunan.
Tun Dr Mahathir Mohamad

LONDON – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kecewa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak memiliki ciri seperti bapanya Tun Abdul Razak Hussein, yang merupakan individu yang beliau sanjungi.

Dr Mahathir berkata Tun Abdul Razak adalah orang yang begitu prihatin dengan nasib orang kampung termasuk memperkenalkan pembangunan kawasan luar bandar namun anaknya tidak sedemikan.

Menurutnya, Najib tiba-tiba memberitahunya mengenai ‘cash is king’.

“Bila kita kata ‘cash is king’ bermakna dengan duit kita boleh buat apa sahaja. Bila tak ada duit, curi duitlah,” katanya kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja siri kedua ke United Kingdom pada Isnin.

Beliau turut kecewa dengan kerosakan jentera kerajaan yang berlaku pada pentadbiran Najib apabila terdapat pegawai-pegawai kerajaan yang berkempen semasa pilihan raya.

Dr Mahathir berkata ketika beliau menjadi perdana menteri pertama kali pada tahun 1981, tiada masalah berlaku dengan jentera kerajaan.

“Tiada masalah, cuma nak buat keputusan berkenaan perkara ini, perkara itu dan perkara ini. Jentera kerajaan berjalan dengan baik,” katanya mengenai pengalaman ketika mula menjadi perdana menteri pada 1981 sehingga 2003.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya kecil kerusi berkenaan pada 13 Okt ini kerana bilangan calon yang ramai bertanding akan memecahkan pengundi.

Kerusi itu akan melibatkan pertandingan tujuh penjuru termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan sebagai pencabar Anwar.

Ditanya mengenai cara pengosongan kerusi berkenaan, Dr Mahathir berkata ia tidak menyalahi undang-undang walaupun ada yang mempertikaikan dari sudut moral.

“Undang-undang membenarkan wakil rakyat letak jawatan dan beri jalan pada pihak lain,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata kemenangan Anwar akan membolehkannya menjadi Anggota Parlimen.

“Dia bertanding untuk memenuhi kerusi yang kosong. Bila menang dia jadi Anggota Parlimen,” katanya.

— BERNAMA