Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memberi jaminan akan membebaskan golongan guru daripada bebanan tugas-tugas perkeranian selewat-lewat awal tahun depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, bagi tujuan itu, pihaknya sedang merangka satu pelan khas bagi memastikan golongan guru kembali fokus kepada pengajaran dan mendidik modal insan.

“Kementerian Pendidikan sedang merangka pelan untuk meringankan beban guru yang akan dibentangkan kepada saya selewat-lewatnya Disember ini

“Saya fikir akan ada berita baik buat guru pada awal tahun depan, kakitangan saya cuba sebaik mungkin mengkaji bagaimana cara untuk meringankan beban guru.

“Para guru tidak perlu memikul kerja-kerja perkeranian lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di HGH Concention Centre, di sini, hari ini.

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sambil diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching beramah mesra bersama pelajar-pelajar dari SJKC Tung Hua pada Majlis Perasmian Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC 2018 di HGH Convention Centre, Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 OKTOBER 2018

Maszlee berkata, usaha ini sebagai langkah untuk mengembalikan zaman kegemilangan para guru yang pernah dianggap sebagai hero khususunya pada era 80-an.

“Generasi lama kita masih ada guru hero kerana apa mereka sayang karier mereka. Guru sayang kita macam anak sendiri dan bila mereka ajar kita, mereka mahu kita benar-benar belajar dan berjaya.

“Kita kehilangan semua ini kerana guru hari ini dibebankan dengan kerja-kerja kerani.

“Kita kena ubah perkara ini dan kita ingin kembalikan zaman kegemilangan guru dan ia akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan