Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim (kanan) menunjukkan gambar lesen terbang yang dijual oleh pihak tidak bertangungjawab di laman sosial pada sidang media khas mengenai penjualan lesen terbang di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi amaran kepada pemegang lesen memandu terbang agar menyerahkan kembali lesen berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Beliau mengingatkan golongan itu jangan menguji kesabaran pihaknya apabila jumlah yang memulangkan lesen tersebut setakat ini amat kecil.

“Mereka ingat kita tidak serius walaupun tempoh sebulan diberikan dan tempohnya akan tamat dalam masa dua minggu lagi.

“Jangan menguji kesabaran kami kerana lepas tempoh tamat, tindakan akan diambil ke atas mereka.

“Lepas itu bila datang ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk perbaharui lesen akan datang mereka terpaksa heret ke mahkamah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada 13 September lalu, Kementerian Pengangkutan memberi tempoh selama sebulan kepada kira-kira 14,000 orang yang disyaki pemegang ‘lesen memandu terbang’ untuk menyerah kembali le­sen berkenaan kepada JPJ atau berdepan tindakan undang-undang.

Anthony ketika itu berkata, pihaknya mempunyai data mengenai pemegang-pemegang lesen me­mandu tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan satu sindiket pengeluaran lesen memandu tanpa prosedur sah melibatkan 12 pegawai dan anggota JPJ.

Mengulas lanjut, Anthony memberi jaminan pemegang lesen memandu akan dibantu mendapat lesen secara sah tanpa dikenakan tindakan.

“Mereka masih ada peluang untuk serah balik lesen kepada JPJ dan kami tidak akan mengambil tindakan kalau anda serah secara sukarela,” katanya

Sementara itu, mana-mana pihak yang memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman minimumnya denda RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan