Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurusan Malaysia Airlines harus memberi penjelasan berhubung isu kerugian sebanyak RM2 bilion yang dihadapi oleh syarikat penerbangan itu dan bukan cuba mengelak daripada isu yang menjadi isu hangat dalam media sosial.

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, Malaysia Airlines Aviation Group (MAG) yang menguruskan Malaysia Airlines jangan cuba mengelak daripada menjawab isu yang menjadi topik hangat dalam media sosial.

Katanya, kerugian seluruh syarikat sudah hampir mencecah RM3 bilion hari ini sejak Malaysia Airlines distruktur semula membabitkan kos sebanyak RM6 bilion.

“NUFAM mengesa pihak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengambil langkah pantas untuk menyelesaikan masalah kerugian di dalam kesemua syarikat tersebut.

“Kerugian ini mempunyai impak yang besar, yang mana jika tidak dibendung, Malaysia Airlines boleh terus rugi dan akan menjadi bankrap,” katanya.

NUFAM berkata, pihaknya telah memaklum kepada Menteri Pengangkutan mengenai masalah ini tetapi beliau masih tidak mengeluarkan sebarang komen.

“Apakah beliau juga tidak mengambil sikap peduli seperti Menteri pengangkutan yang lama di bawah Kerajaan Barisan Nasional?,” soal NUFAM lagi.

Kesatuan itu menambah, NUFAM pernah memaklumkan bahawa syarikat Malaysia Airlines akan menghadapi masalah yang sama jika syarikat ini terus membeli pesawat baharu dan tidak mengambil sikap bercermat.

Dan, pada hari ini ia berlaku apabila 10 buah pesawat Boeing yang ditempah oleh Malaysia Airlines tidak mampu untuk meneruskan perjanjian tersebut.

Akhirnya Boeing telah menamatkan perjanjian dengan Malaysia Airlines.

“Setiap kali pihak kami bersuara kepada pihak pengurusan, mereka akan menepis kenyataan kami dan tidak mahu mendengar nasihat.

“Hari ini semua ini menjadi kenyataan. Adakah Malaysia Airlines terpaksa membayar pampasan pula kepada Boeing kerana telah gagal untuk meneruskan perjanjian membeli pesawat-pesawat tersebut?,” tanya NUFAM lagi.

Malah, NUFAM mendakwa Malaysia Airlines juga mempunyai masalah yang mana projek Amal Umrah untuk mengunakan pesawat Airbus A380 dalam operasi mereka tidak dapat direalisasikan.

Projek Amal yang sepatutnya bermula pada awal bulan September masih tergantung dan 400 orang kru kabin yang telah dilatih oleh Malaysia Airlines masih belum dimaklum mengenai status mereka.

“Apa sudah berlaku? Jika pengurusan tidak mempunyai sebarang idea untuk mengendalikan operasi tersebut dan tidak mempunyai daya lagi, baik hentikan terus dengan projek berkenaan dan maklum kepada semua pekerja terbabit.

“Mereka telah menunggu berbulan untuk bekerja dan mereka tidak menerima apa-apa bayaran daripada syarikat,” kata NUFAM yang turut mendakwa Malaysia Airlines juga tidak mempunyai juruterbang yang mencukupi untuk mengendalikan operasi penerbangan mereka.

Dakwa NUFAM lagi, banyak pesawat tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

“Apakah ia bukan menunjuk masalah yang besar dihadapi oleh pihak syarikat apabila kapal- kapal ini tersadai begitu lama sekali?,” ujarnya. – MalaysiaGazette