laporan polis
Pengasas dan Naib Presiden Kanan Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA), Power S. Gobi Krishnan (tiga kiri), Pengerusi Bahagian Cheras Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA), Harnarain Singh Gill (dua kanan) serta Ahli Jawatankuasa Tinggi Mira menunjukkan laporan polis dan kenyataan dari laman sosial mengenai Raja Petra berhubung isu turbans dan komuniti Sikh di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Hak Minoriti Malaysia (MiRA) hari ini membuat laporan polis terhadap blogger Raja Petra Kamaruddin kerana mendakwa telah menghina kaum Sikh.

Pengasas yang juga Naib Presiden Kanan MiRA, S. Gobi Krishnan berkata, laporan itu dibuat supaya polis Malaysia menghubungi pihak berkuasa United Kingdom (UK) agar tindakan tegas dan sewajarnya diambil ke atas blogger terbabit.

Katanya, laporan itu dibuat Pengerusi Biro Media MiRA, Harnarain Singh Gill kira-kira jam 12.30 tengah hari ini di Balai Polis Dang Wangi, di sini berikutan tulisan Raja Petra Kamaruddin mempunyai unsur penghinaan terhadap masyarakat Sikh dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh berkaitan isu serban.

“Kita minta polis Malaysia menghubungi polis di UK dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara itu di bawah jenayah kebencian antara kaum terhadap Raja Petra Kamaruddin.

“Tulisannya jelas menghina Datuk (Seri) Amar Singh pasal isu turban (serban) dan kaum Sikh keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini, hari ini.

Semalam, Raja Petra Kamaruddin memohon maaf melalui blog dan laman sosial beliau kepada masyarakat Sikh dan Amar Singh.

Menerusi blognya itu, beliau memohon maaf selepas dimaklumkan turban adalah suci dan masyarakat Sikh tidak boleh terima pemakaian serban dijadikan bahan lawak. – MalaysiaGazette