KUALA LUMPUR –  Malaysia Debt Venture Bhd. (MDV) telah membayar RM200 juta daripada RM1.5 bilion program sukuk yang dijamin kerajaan.

Anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan itu berkata,  program sukuk itu atau dana kedua daripada nilai RM1.5 bilion telah pun dikeluarkan sepenuhnya dan sudah tiba masanya ia membuat pembayaran terhadap kesemua komitmen mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Pembayaran RM200 juta ketika ini merupakan jadual pembayaran ketiga dengan nila keseluruhan adalah RM900 juta.

“Pembayaran penuh dana kedua itu dijadualkan menjelang 2023,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2002, MDV telah meraih dana pertama sebanyak RM1.6 bilion daripada Japanese Bank for International Cooperation menerusi program G2G.

Ia telah membayar kesemua komitmennya pada 2015.

Pada Ogos 2017 pula, MDV menjayakan dana ketiga program sukuk jaminan kerajaan bernilai RM1 bilion dan setakat ini sejumlah RM230 juta telah diterbitkan.-MalaysiaGazette