Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memulakan tugas di Menara SPR, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2018.
Azhar Azizan Harun. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Setiap calon atau parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson diminta tidak melakukan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Ia seperti aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan bagi tujuan untuk memancing undi, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan PRK Parlimen Port Dickson sebagai contoh pilihanraya yang adil dan bersih, selaras dengan visi dan matlamatnya sebagai institusi pilihanraya yang efisyen, adil dan beramanah.

Sehubungan dengan itu, SPR mengingati dan menyarankan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya selama 14 hari yang bermula dari Hari Penamaan Calon sehingga jam 11.59 malam, 12 Oktober 2018.

Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tegasnya.

Menurut beliau, bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman dan harmoni, semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik, calon-calon yang bertanding, penyokong-penyokong parti politik diminta mematuhi undang-undang, peraturan dan arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, polis atau pihak berkuasa lain.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua calon dan parti politik yang bertanding untuk memastikan segala aktiviti kempen PRK Parlimen P.132 Port Dickson tidak menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengundi di PRK tersebut.

“Sekiranya mana-mana pihak mendapati berlakunya pelanggaran undang-undang dan peraturan semasa tempoh rasmi kempen pilihan raya, SPR menyarankan supaya laporan atau aduan dikemukakan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan segera bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

SPR juga mengingatkan pada Hari Mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang.

Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam demi menjamin satu pilihanraya yang bersih, beretika dan adil. – MalaysiaGazette