teksi
Calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan ahli persatuan pemandu teksi sempena kempen pilihan raya itu di Hentian Bas dan Teksi Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Lebih 120 pemandu teksi dan kereta sewa pekan Port Dickson berdepan risiko gulung tikar.

Ini kerana kemunculan kereta Uber dan Grabcar sejak empat tahun lalu didakwa menjejaskan pendapatan pengusaha teksi dan kereta sewa yang telah beroperasi secara turun temurun itu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Port Dickson Rosli Latif, 55, berkata, sejak kehadiran perkhidmatan e-hailing, Uber dan Grab, permintaan perkhidmatan teksi dan kereta sewa merosot hampir 80 peratus.

“Kami beroperasi selama lebih 50 tahun di Terminal Bas PD ini dan suatu ketika dahulu menjadi pilihan utama warga tempatan Port Dickson untuk berulang alik ke mana-mana kawasan luar.

MGF02102018_ANWAR JUMPA PEMANDU TEKSI01
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi, Rosli Latif, 55, bercakap kepada media di Hentian Bas dan Teksi Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018.

“Kereta sewa kami menjadi ikon klasik di bandar ini, tetapi kini hilang ceria dan tidak lagi dipedulikan warga tempatan mahupun pelancong asing.

“Ini gara-gara Grab dan Uber yang kini menjadi anak emas dan pilihan warga PD walaupun tidak dijamin selamat seperti kami yang mempunyai polisi perlindungan penumpang,” katanya hari ini.

Terdahulu para pemandu teksi dan kereta sewa di bandar ini menerima kunjungan calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Ravi Munusamy.

Pada pertemuan itu, mereka berkesempatan meluahkan permasalahan kemerosotan mata pencarian yang disebabkan oleh perkhidmatan e-hailing itu.

Pemandu kereta sewa, Balasingam Krishnasamy, 57, berkata, beliau terpaksa membawa kereta sewa untuk menanggung persekolahan dua anaknya.

MGF02102018_ANWAR JUMPA PEMANDU TEKSI08
Pemandu teksi, Balasingam Krishnasamy, 57, bercakap di Hentian Bas dan Teksi Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018.

“Saya bawa teksi lebih 20 tahun dan jika dulu setiap hari boleh meraih pendapatan RM50 hingga RM150 sehari dengan tidak mempunyai masa berehat  tetapi sekarang senario itu tidak wujud sebab susah nak harapkan RM30 sehari.

“Apa mencetuskan kemarahan kami ialah ada pemandu Grab menceroboh kawasan kami dan mengambil penumpang di terminal teksi ini, tapi kami tidak berdaya melakukan apa-apa,” tegasnya.

Seorang lagi pemandu, Hashim Aris, 67 yang juga anak tempatan berkata, pengusaha hotel juga tidak lagi berhasrat membantu mereka.

MGF02102018_ANWAR JUMPA PEMANDU TEKSI09
Pemandu teksi, Hashim Mohd Aris,67, bercakap di Hentian Bas dan Teksi Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018.

“Kalau ditanya, mereka mendakwa Grab dan Uber murah serendah RM6 dan hotel sedia membantu pengusaha teksi jika bersedia menawarkan perkhidmatan mengikut kadar murah Grab.

“Ini sangat mengecewakan kerana sejak dahulu lagi kami sudah menetapkan tambang standard RM10 dan ke atas mengikut destinasi yang dituju dan ia tidak menjadi isu untuk penumpang.

“Oleh demikian kami berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan serta bakal wakil rakyat kawasan ini megambil berat dan memberi nafas baharu kepada lubuk pencarian kami ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan