Danyal Balagopal Abdullah
Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Haparan, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Penyelaras Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah memberi jaminan bahawa kempen yang dilakukan Pakatan Harapan tidak akan mengganggu pelancong yang berkunjung ke pusat pelancongan itu.

Katanya, jumlah kedatangan pelancong tempatan dan asing tidak terjejas berikutan PRK Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu isu serius bahawa kempen PRK telah menyebabkan kemerosotan pengunjung ke PD.

“Kempen PRK kami tidak menjejaskan langsung ataupun mengganggu gugat kehadiran pelancong ke sini dan kami lebih berhati-hati dalam hal ini kerana melibatkan industri pelancongan.

“Kami akan cuba mengelak daripada merentasi atau menceroboh kawasan tarikan pelancong di bandar ini,” katanya dalam sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PH di pekan tersebut.

Bekas ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika ditanya mengenai rungutan pengusaha pelancongan yang kebanyakan mengadu kehadiran pelancong tempatan dan asing ke pantai itu berkurangan.

Danyal yang menafikan persepsi itu memberi jaminan menangani isu itu dengan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta jawatankuasa pelancongan malah komited menambah baik akses jaringan jalan raya di sepanjang pesisir pantai bagi meningkatkan bilangan pelancong.

“Kita perlu merancang penbinaan jalan lebuh raya yang teratur kerana jalan raya yang sedia ada menjejaskan penduduk daripada segi perjalanan ulang alik.

“Namun kita perlu faham kita tidak boleh membawa perubahan itu dalam satu malam kerana ia melibatkan demografi kawasan bandar dan pasti akan memakan beberapa tahun akan datang untuk menangani isu secara menyeluruh.

Yang pasti ia akan memanfaatkan semua pihak berkepentingan khususnya sektor pelancongan di sini,” katanya.

PRK Port Dickson diadakan selepas Danyal meletak jawatan sebagai ahli Parliman kawasan itu pada 12 September lalu sebagai membuka laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding. – MalaysiaGazette